Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berhubung tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini.

GPS juga menjunjung kasih akan kebijaksanaan dan kearifan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Raja-Raja Melayu yang telah bersidang, dalam menangani kemelut politik negara.

GPS akur akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya semua ahli politik menghentikan segala politicking yang boleh mengganggu gugat kestabilan pemerintahan negara. Ini amat selari dengan prinsip dan pendirian GPS selama ini yang konsisten mahu supaya semua pihak menghentikan politicking dan fokus kepada usaha menangani penularan COVID-19 serta pemulihan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik berkenaan.

GPS berharap semua pihak akur akan titah dan nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang sentiasa mengutamakan rakyat dan negara, di samping memperakui Kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan serta amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 dari terus merebak.

Rakyat seharusnya menjadi keutamaan oleh semua ahli-ahi politik dalam apa jua keadaan terutama dalam berdepan cabaran penularan COVID-19 ketika ini. GPS menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan betapa pentingnya Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang ini, dalam menangani wabak COVID-19.

Daulat Tuanku

Dato’ Sri Fadillah Yusof
Ketua Whip GPS