MIRI: Empat kru yang dilaporkan hilang dalam kejadian kapal karam di Kuala Baram di sini berjaya ditemui dan dilaporkan selamat.

Ketua Pengarah Agensi Pengkuasaan Meritim Malaysia, Laksamana Maritim, Dato’ Mohd Zubil Mat Som berkata, empat anak Kapal Dayang Topaz itu ditemui pada jam 9.29 pagi berhampiran lokasi kejadian dan mereka dibawa ke kapal yang terlibat dalam operasi carilamat.

Katanya, ia menjadikan jumlah mereka yang terselamat seramai 124 orang manakala, seorang lagi dilaporkan meninggal dunia.

“Berdasarkan maklumat awal, kejadian disyaki berpunca daripada salah satu kabel sauh Kapal Dayang Topaz terputus ekoran daripada cuaca buruk dan kapal tidak dapat dikawal sebelum hanyut melanggar platform pelantar Minyak beramB,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, MRCC Putrajaya kini sedang bekerjasama dengan syarikat carigali minyak Petronas, Shell,Tentera Udara Malaysia (TUDM), Bomba dan Penyelamat, National Search Coordination Center Brunei yang telah menugaskan sebuah pesawat Brunei Shell Petroleum termasuk komuniti nelayan tempatan.

“Aset-aset yang terlibat ialah KM Siagut, KM Siakap dan Bot Penggalang 23 kini berada di lokasi kejadian untuk memantau keselamatan mangsa dan aset-aset SAR yang berada di lokasi kejadian.

“Keadaan laut masih bergelora dengan paras ketinggian 3.5 ke empat meter,” ujarnya.

Dalam kejadian itu, kesemua mangsa dilaporkan terjun ke laut untuk menyelamatkan diri namun seorang meninggal dunia.