KITA selalu mendengar istilah gencatan senjata digunakan dalam bidang sains politik. Gencatan senjata merujuk kepada tindakan pihak yang berperang menamatkan pertempuran dalam sesuatu peperangan bagi membolehkan perbincangan tentang perdamaian dilakukan.

Maksudnya, penghentian perang atau konflik bersenjata dengan menghentikan tindakan agresif masing-masing.

Gencatan senjata dapat dikatakan sebagai sebahagian daripada perjanjian formal, tetapi dapat juga sebagai bahagian pemahaman informal antara kedua-dua pihak.

Gencatan senjata boleh berlaku secara sementara tetapi tidak semestinya bermaksud menamatkan peperangan.

Pihak berperang mungkin akan bersengketa semula sebaik sahaja gencatan senjata berakhir.

Misalnya, gencatan senjata tidak rasmi berlaku antara Jerman dengan Britain kerana ingin meraikan Krismas pada 25 Disember 1914 ketika berlakunya Perang Dunia Pertama.
Namun, sekiranya gencatan senjata kekal dapat dicapai, hal tersebut boleh membawa kepada tamatnya peperangan.

Minggu ini kita mendengar satu lagi istilah yang hampir sama, iaitu gencatan politik. Apa maksudnya gencatan politik?

Malaysia kini berada dalam intrig dan ketidaktentuan politik selepas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan sudah punya majoriti meyakinkan untuk menubuhkan kerajaan. Dakwaan itu kalau betul sekali gus meletakkan kedudukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagai telur di hujung tanduk.

Dengan itu juga, suhu politik di negara ini semakin menggelegak. Jadi, gencatan senjata anjuran Umno merupakan strategi untuk menyejukkan suhu politik yang semakin menggelegak.

Kita tidak dapat menafikan sejak kekalahan BN dalam PRU-14, politik negara penuh dengan drama, intrig, plot dan subplot.

PH yang menang dalam PRU-14 pada Mei 2018, tumbang, dan pemerintahan diambil alih oleh Perikatan Nasional dalam satu amalan politik kelaziman baharu. Rakyat bertanya selepas dakwaan berani Anwar, adakah sekali lagi akan ada peralihan kuasa? Adakah pemimpin dan ahli politik terus-terusan akan bermain politik dan kuasa, dengan tidak mempedulikan kepentingan dan kebajikan rakyat?

Gencatan politik yang diumumkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu memutuskan untuk melakukan gencatan senjata mencetuskan pelbagai tafsiran.

Beliau berkata, gencatan senjata itu bertujuan untuk memberi keutamaan kepada agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi.

Gencatan politik ini memungkinkan semua parti politik dalam PN — Umno, Pas, Bersatu serta pengikut serpihan PKR meletakkan senjata. Ya, untuk mengelakkan daripada terus mengeruhkan suasana politik yang sedia meruncing dengan tindak-tanduk dan keputusan yang dapat mencetuskan keadaan tidak stabil.

Seyogia diingat, pada 13 Oktober lalu, biro politik Umno mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan PN.

Jika parti yang mempunyai 38 ahli parlimen itu berbuat demikian, tidak dapat tidak, ini bermaksud PN pasti tumbang. Umno merupakan parti yang paling banyak mempunyai kerusi atau ahli parlimen. Justeru, survival PN sebenarnya turut banyak bergantung kepada pendirian yang dibuat Umno.

Susulan itu juga, Umno sebagai parti dominan yang berasa diperlekeh oleh Bersatu memberi syarat baharu kepada Kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik.

Ini termasuk supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri — yang kini kosong — diberi kepada Umno, selain portfolio kanan dan penting lain kepada parti berkenaan.
Meletakkan senjata bermaksud semua parti terbabit tidak akan melakukan sesuatu tindakan yang dapat menjejaskan kedudukan PN sehingga akhirnya PRU-15 terpaksa diadakan.

Atau kuasa diambil alih oleh Anwar yang bakal menyebabkan sebahagian pemimpin dalam PN putih mata.

Itulah sebabnya Umno memutuskan untuk mengarahkan kepimpinan parti dalam kabinet menumpukan usaha bagi menjayakan agenda membantu rakyat berdepan kesukaran akibat Covid-19.

Selain kembali mendukung kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Zahid berkata, kerjasama semua parti dalam PN harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik.

Sesungguhnya, negara tidak dapat melalui satu lagi krisis dan ketidakstabilan politik ketika kita berdepan dengan ancaman Covid-19 yang membawa bersama-samanya pelbagai kesan negatif, termasuk dari segi ekonomi dan sosial. Banyak yang hilang pekerjaan dan terjejas pendapatan.

Hakikatnya, gencatan senjata ini merupakan langkah Umno untuk melakukan penjajaran semula kerjasama politik melibatkan parti itu.

Keputusan Zahid dibuat seiring tekanan dan penafian dalam kalangan pemimpin parti itu yang tidak mahu bekerjasama dengan Anwar.

Gencatan politik ini memang tindakan wajar ketika rakyat sudah muak dengan tindak-tanduk pemimpin politik yang disifatkan hanya mementingkan kuasa dan kepentingan peribadi.

Kalau tidak, tentu sekali lagi negara diletak dalam keadaan tidak menentu. Kita tidak boleh mengalami satu lagi kemelut krisis yang hanya akan memberi gambaran bahawa keadaan politik di negara ini tidak stabil.

Dari satu segi, gencatan itu bukan bermaksud mengalah atau kalah tetapi satu langkah yang mencerminkan bahawa pemimpin Umno sedar akan sentimen yang menggelegak di peringkat akar umbi.

Ketika ini pemimpin politik tidak boleh dilihat bahawa mereka lebih mengutamakan kuasa daripada kepentingan dan kebajikan rakyat. Imej mereka sudah terjejas kerana ahli politik dipersepsi lebih mengutamakan kepentingan kuasa dan diri daripada kepentingan rakyat dan negara.

Jadi inilah ketikanya untuk ahli-ahli politik perlu benar-benar menunjukkan mereka punya prinsip, integriti dan maruah bagi mengelakkan krisis politik, kesihatan dan ekonomi.
Kalau tidak, gencatan politik, seperti juga dalam gencatan senjata, boleh berlaku pelanggaran. Sebab, pihak terbabit tidak berpegang kepada perjanjian.

Dalam perang kadang-kadang gencatan senjata dilanggar. Terbaharu misalnya, perang dua negara bekas Kesatuan Soviet berlanjut.

Azerbaijan dan Armenia saling menuduh atas serangan penembakan, melanggar gencatan senjata yang ditengahi Rusia. Pada Sabtu 17 Oktober, pihak Azerbaijan mengatakan 13 orang awam tewas dan lebih 40 orang cedera di kota Ganja akibat serangan Armenia.

Manakala Armenia pula menuduh Azerbaijan terus menembaki mereka. Pertempuran tersebut adalah yang terburuk di wilayah Nagorno-Karabakh sejak Azerbaijan dan pasukan etnik Armenia berperang pada 1990-an.

Adakah gencatan politik di negara ini ini dapat bertahan? Bukan sukar untuk dijangka bahawa gencatan politik itu tidak akan dapat bertahan lama.

Sebaliknya, gencatan politik anjuran Umno itu hanya bersifat sementara, malah dapat disifatkan sebagai kosmetik. Bukan tidak ada kalangan yang menganggap Umno opotunistik, malah menyifatkan pengisytiharan itu bagi mengelak diri daripada dipersalahkan kerana bermain politik dan sandiwara politik pada waktu negara berdepan keadaan sukar.

Percaya atau tidak, Pas dan Umno ketika ini bermain rakan dan musuh sekali gus dalam memaksa Muhyiddin supaya akur kepada syarat dan permintaan mereka. Apatah lagi, kedudukan dan masa depan beliau sebagai Perdana Menteri banyak bergantung kepada tindak-tanduk dan keputusan dua buah parti yang membentuk MN itu.

Bukan mengejutkan kedua-dua parti terbabit akan bertelagah semula selepas ancaman Covid-19 reda.

Sebabnya, Umno merupakan parti yang dominan berbanding dengan Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin.

Umno akan mengemukakan lagi syarat itu selepas keadaan reda, mungkin enam bulan dari sekarang, selepas ancaman Covid-19 mereda. Dengan itu, memaksa PRU-15 diadakan.