1. LAPORAN HARIAN

Hari ini 16 kes positif COVID-19 dikesan di Daerah Kuching. Ini menjadikan
jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada
819 kes.

A. Kes COVID-19 Baharu (16 Kes Jangkitan Tempatan)

i) Kes melibatkan Kluster Baki (12 Kes Baharu).

Dua belas (12) kes baharu dikesan melalui aktiviti pengesanan secara
aktif di Kampung Haji Baki. Kes-kes ini telah menjalani saringan pada 24
Oktober 2020 dan keputusan ujian rT-PCR COVID-19 pada 25 Oktober
2020 mendapati mereka positif COVID-19. Kesemua kes merupakan
kontak rapat kepada kes indek Kluster Baki.
Kes-kes ini adalah dalam lingkungan umur 7 hingga 75 tahun, di mana
tiga (3) merupakan pelajar sekolah rendah, dua (2) pelajar sekolah
menengah, lima (5) orang dewasa dan dua (2) warga emas. Hanya satu

(1) kes yang mempunyai tanda dan gejala. Kesemua kes telah
dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Umum Sarawak untuk rawatan
lanjut.

ii) Kes Saringan di Fasiliti Kesihatan Swasta (3 kes jangkitan tempatan)
Terdapat tiga (3) kes baharu yang dikesan melalui saringan kontak rapat
di fasiliti kesihatan swasta di Kuching. Kes-kes ini merupakan kontak
kepada kes ke-798 yang telah dilaporkan pada 26 Oktober 2020.

Kesemua kes ini telah menjalani saringan kendiri di sebuah fasiliti
kesihatan swasta pada 26 Oktober 2020 selepas kes ke-798 disahkan
positif. Keputusan ujian rT-PCR mendapati kes-kes ini positif COVID-19
pada hari yang sama.

Kes-kes tidak mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko
jangkitan COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke wad pengasingan
Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut. Kes-kes ini masih dalam
siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar jangkitan. Aktiviti
pengesanan kontak rapat kepada kes-kes ini sedang giat dijalankan.
Sehingga punca jangkitan diketahui, kes-kes ini akan dikategorikan
sebagai kes jangkitan tempatan berdasarkan sejarah awal pergerakan
kes.

iii)Kes Melalui Pengesanan Kes Secara Aktif (1 kes jangkitan
tempatan)
Satu (1) kes telah dikesan melalui aktiviti pengesanan aktif yang telah
dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada 25 Oktober
2020. Kes adalah seorang lelaki warganegara tempatan yang berniaga di
salah satu kawasan perniagaan terkemuka di Bandaraya Kuching. Kes
telah menjalani saringan pada 25 Oktober 2020. Keputusan ujian rT-PCR
pada 26 Oktober 2020 telah mendapati kes adalah positif COVID-19.
Kes tidak mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko jangkitan
COVID-19 dan tidak mempunyai kontak dengan kes positif COVID-19.
Kes telah dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Umum Sarawak
untuk rawatan lanjut. Kes ini masih dalam siasatan lanjut untuk
mengetahui punca sebenar jangkitan. Aktiviti pengesanan kontak rapat
kepada kes ini sedang giat dijalankan. Sehingga punca jangkitan kes ini
diketahui, kes ini akan dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan
berdasarkan sejarah awal pergerakan kes.

B. Kluster COVID-19 yang masih aktif.

Hari ini, terdapat empat (4) kluster yang masih aktif di Sarawak. Klusterkluster yang masih aktif adalah seperti berikut:

i) Kluster Bah Arnab di Daerah Kuching.
Tiada penambahan kes baharu positif COVID-19 dikesan atau dilaporkan
melibatkan kluster ini. Jumlah kes positif melibatkan kluster ini kekal
seramai dua belas (12) orang termasuk kes indeks.
Sejumlah 72 orang individu telah disaring, dimana:
• Empat (4) kes telah dikesan semasa saringan pertama dan
• Lapan (8) kes telah dikesan melalui saringan ulangan pada hari ke-10
semasa dalam kuarantin.
• 60 individu adalah negatif saringan COVID-19 termasuk 28 orang yang
telah menjalani saringan kedua pada hari Ke-10.
Ini menjadikan kadar kes positif bagi kluster ini ialah 16.67%. Sehingga
27 Oktober 2020, jam 12:00 tengah hari, lapan (8) orang kes lagi masih
menerima rawatan di wad pengasingan di hospital dan berada di dalam
keadaan stabil. Tiada kematian dilaporkan melibatkan kluster ini.
ii) Kluster Putra di Daerah Bintulu.
Tiada penambahan kes baharu positif COVID-19 dikesan atau dilaporkan
melibatkan kluster ini. Jumlah kes positif melibatkan kluster ini seramai
lima (5) orang termasuk kes indeks.
Kenyataan Media JPBN Bil 264/2020

Sejumlah 190 individu telah disaring dan lima (5) atau 2.63% telah dikesan
positif COVID-19 dan 185 individu adalah negatif. Daripada 185 yang telah
didapati negatif pada saringan pertama, seramai 80 orang individu atau
43.24% telah disaring untuk kali kedua (Hari Ke-10) di mana kesemua 80
individu tersebut juga telah didapati negatif ujian rT-PCR COVID-19.
Sehingga 27 Oktober 2020, jam 12:00 tengah hari, kesemua orang kes
yang dalam kluster ini telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital.
Adalah dimaklumkan bahawa satu (1) kes yang didaftarkan di Selangor
telah dikeluarkan daripada kluster ini atas arahan Kementerian Kesihatan
Malaysia setelah didapati mendapat jangkitan dari punca lain.

iii) Kluster Baki

Terdapat dua belas (12) kes baharu positif COVID-19 dikesan atau
dilaporkan melibatkan kluster ini pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes
positif melibatkan kluster ini meningkat kepada 25 orang termasuk kes
indeks.

Sejumlah 949 individu telah disaring, dimana:
• 25 kes dikesan positif COVID-19;
• 823 individu negatif; dan
• 101 individu yang masih menunggu keputusan.

Ini menjadikan kadar kes positif bagi kluster ini ialah 2.63%. Sehingga
27 Oktober 2020, jam 12:00 tengah hari, semua kes yang terlibat di
dalam kluster ini masih menerima rawatan di wad pengasingan di hospital
dan mereka adalah dalam keadaan stabil. Tiada kematian dilaporkan
melibatkan kluster ini.

Aktiviti Pengesanan Secara Aktif di Kampung Haji Baki
Seramai 845 individu telah disaring semasa aktiviti pengesanan secara
aktif yang telah dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak di
Kampung Haji Baki pada 25 Oktober 2020. 25 adalah positif, 744 individu
adalah negatif dan 101 individu yang di saring masih menunggu
keputusan ujian Makmal.

iv) Kluster Seladah

Tiada penambahan kes baharu positif COVID-19 dikesan atau dilaporkan
melibatkan kluster ini. Ini menjadikan jumlah kes positif melibatkan
kluster ini kekal seramai tujuh (7) orang termasuk kes indeks.
Sejumlah 18 individu telah disaring, dimana:
• Tujuh (7) kes dikesan positif COVID-19;
• Lima (5) individu negatif; dan
• Enam (6) individu yang masih menunggu keputusan.

Ini menjadikan kadar kes positif bagi kluster ini ialah 38.88%. Sehingga
27 Oktober 2020, jam 12:00 tengah hari, semua kes yang terlibat di
dalam kluster ini masih menerima rawatan di wad pengasingan di hospital
dan mereka adalah dalam keadaan stabil. Tiada kematian dilaporkan
melibatkan kluster ini.

C. Status Kes COVID-19 Di Dalam Wad Pengasingan Hospital.
Dimaklumkan juga bahawa terdapat empat (4) kes baharu yang telah
pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini. Kes baharu yang
telah pulih dan dibenarkan discaj ini adalah dua (2) dari Hospital Umum
Sarawak dan dua (2) Hospital Miri. Ini menjadikan jumlah keseluruhan
kes positif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari
ini adalah seramai 736 orang atau 89.87% dari jumlah keseluruhan kes
COVID-19 di Sarawak.

Jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital
adalah seramai 64 orang iaitu:

• 63 kes di wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak; dan
• Satu (1) kes di Hospital Miri

Tiada kes COVID-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU)
pada hari ini. Tiada kes kematian baharu dilaporkan pada hari ini. Ini
menjadikan jumlah kematian adalah kekal seramai 19 orang atau
2.32%.

Hari ini 20 PUI baru telah dilaporkan dan tiga (3) kes PUI yang masih
menunggu keputusan ujian makmal.

D. Aktiviti Pengesanan Secara Aktif Di Kawasan 101 Kuching
Susulan pengesanan kes positif COVID-19 warga China pada 23 Oktober
2020, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dengan kerjasama agensi di
bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah
menjalankan aktiviti pengesanan secara aktif di kawasan 101 Kuching
pada malam 25 Oktober 2020.

Seramai 271 individu telah disaring semasa aktiviti pengesanan secara
aktif yang telah dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak di
kawasan 101 Kuching. Keputusan bagi saringan di kawasan 101 adalah
270 negatif dan satu (1) positif COVID-19.
E. Aktiviti Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) di Galacity,
Kuching.

Pada malam 26 Oktober 2020, satu aktiviti pengesanan secara aktif
(ACD) telah dijalankan di pusat perniagaan Galacity, Kuching. Seramai
312 individu telah disaring untuk ujian rT-PCR COVID-19. Setakat 27
Oktober 2020, jam 12:00 tengah hari, semua individu yang telah
disaring masih menunggu keputusan ujian makmal.

Seramai 110 petugas kesihatan dan anggota pangkalan hadapan telah
terlibat dalam operasi ini. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri
Sarawak mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi yang terlibat
dan kepada orang ramai yang telah memberi kerjasama semasa
perjalanan aktiviti ini.

F. Ringkasan Kes Mengikut Daerah Di Sarawak.
Hari ini, Daerah Kuching telah bertukar dari status kuning
kepada merah dengan jumlah keseluruhan seramai 49 kes
jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang
lepas.

Ini menjadikan jumlah daerah yang berstatus Merah adalah satu (1) buah
daerah dan 39 buah daerah yang lain di Sarawak kekal berada dalam
status Hijau.

2. KEPUTUSAN JAWATANKUASA PENGURUSAN BENCANA

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah bermesyuarat hari
ini dan menilai kes-kes yang telah berlaku dimana tempat-tempat yang berisiko
tinggi jangkitan serta tempat-tempat yang sukar diawasi untuk dilaksanakan
SOP, maka keputusan berikut telah dibuat:

A. Penutupan Pusat Hiburan dan Pusat Refleksologi
Semua Pusat Hiburan dan Pusat Refleksologi ditutup buat sementara
waktu mulai 28 Oktober 2020 sehingga arahan diberitahu kelak.

B. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung
Haji Baki
Hari ini daerah Kuching telah bertukar status dari kuning kepada merah
dengan merekodkan 49 kes jangkitan tempatan. Daripada jumlah kes
tersebut, 25 kes adalah dari kawasan Kampung Haji Baki. Kes positif di
Kampung Haji Baki telah dilaporkan pada 18 Oktober 2020. Semenjak
kes indek kluster tersebut dilaporkan, KKM telah melakukan penjejakan
kontak dan Active Case Detection (ACD) pada 25 Oktober 2020.

Di kalangan 25 kes tersebut, ia melibatkan ahli keluarga terdekat kes
indek, jiran terdekat, pelajar sekolah rendah dan menengah serta pekerja
kesihatan.

Untuk memutuskan rantaian bagi kluster ini, maka JPBN akan mengambil
Langkah pencegahan dengan melaksanakan PKPD.
Arahan Perintah Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Haji Baki
akan berkuatkuasa mulai 28 Oktober (mulai 6.00 petang) hingga
10 November 2020.

Kawasan Terlibat
i. Kampung Haji Baki Blok A
ii. Kampung Haji Baki Blok B
iii. Kampung Haji Baki Blok C
Kawalan Pergerakan

i. PDRM bertanggungjawab melaksanakan kawalan ke atas kawasan
tempatan jangkitan dengan bantuan ATM, APM dan RELA.
ii. Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
iii. Pergerakan keluar masuk pegawai bertugas dan warder bertugas
ke dalam kawasan PKPD adalah tidak dibenarkan. Pertimbangan
boleh diberikan oleh pihak PDRM dan KKM berdasarkan case by
case basis.
iv. Tiada tetamu dan pelawat luar dibenarkan masuk dalam tempoh
PKPD berkuatkuasa.

Aktiviti Di Kawasan PKPD

i. Semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar
daripada rumah masing-masing.
ii. Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan
untuk keluar zon tetapi perlu mendapatkan kebenaran daripada
PDRM.
iii. Semua surau, masjid, rumah ibadat lain dan sekolah di dalam
kawasan PKPD ditutup sepanjang tempoh ini.
iv. Semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi.
v. Aktiviti keagamaan, social, rekreasi dan budaya dan sukan adalah
tidak dibenarkan.
vi. KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua
penduduk yang terlibat
vii. Bekalan keperluan makan akan diagihkan oleh Kerajaan Negeri
yang akan dikoordinasikan oleh Jawatankuasa Pengurusan
Bencana Bahagian Kuching.

Semua majikan (Penjawat Awam / Swasta) hendaklah memberikan kerjasama
untuk membenarkan pekerja yang tinggal di kawasan PKPD ini untuk berkerja
dari rumah.

3. LAPORAN NOTIS TANGKAPAN / KOMPAUN / AMARAN / SITAAN

Hari ini pihak PDRM telah mengeluarkan 13 kompaun di Daerah Kuching
(6), Miri (3), Sarikei (2), Kota Samarahan (1) dan Betong (1).
Manakala pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak
telah mengeluarkan 83 amaran lisan, bertulis dan sitaan di kawasan
seliaan MD Marudi (20), SMC (18), DBKU (15), BDA (14), MD Serian (5),
MBKS (3), MD Sarikei (2), MDMJ (2), MDDM (2) dan MB Miri (2).

4. PEMANTAUAN PEMATUHAN PKPP (01 SEPTEMBER HINGGA 31
DISEMBER 2020)

Hari ini sebanyak 1,575 premis telah dipantau iaitu Pasaraya (184),
Restoran (284), Kilang (14), Bank (132), Pejabat Kerajaan (34), Penjaja
(118), Pasar Tani/Awam (82), Tempat Ibadah (87), Tempat Riadah (59),
Tapak Pembinaan (21) dan lain-lain (560).
Seramai 550 anggota pematuhan PKPP yang terdiri daripada PDRM (256),
ATM (32), RELA (128), APM (82), PBT (35), KKM (8) dan lain-lain agensi (9).

5. SEKATAN JALAN RAYA OP BENTENG

Hari ini terdapat 6 sekatan jalan raya di 5 buah daerah iaitu di Lawas (2),
Lundu (1), Bau (1), Serian (1) dan Sri Aman (1). Melalui 6 sekatan jalan raya
tersebut, sebanyak 980 jumlah kenderaan telah diperiksa.
Stay Vigilant, Stay Safe, Stay Healthy, Save Lives
Jaga Sarawak Intu Sarawak

SEKRETARIAT
JAWATANKUASA PENGURUSAN BENCANA NEGERI SARAWAK
27 OKTOBER 2020
5.00 PETANG

JAWATANKUASA PENGURUSAN BENCANA NEGERI SARAWAK
KENYATAAN MEDIA (27 OKTOBER 2020)