MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan 190 kru kapal penyelenggaraan Dayang Topaz  diselamatkan dan seorang lagi maut selepas  karam di kedudukan 7.7 batu nautika dari Kuala Baram pagi tadi.

Menurut  kenyataan Ketua Pengarah  APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, ketika kapal terbabit mulai karam, 62 kru masih berada di atas kapal, manakala 125 kru terjun ke laut.

Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC) di Putrajaya menerima aduan kapal Sapura Construction pada jam 6.45 pagi.

Ia menerima isyarat kecemasan dari kapal Dayang Topaz, dan seterusnya ia bergerak ke lokasi.

“Aset bantuan telah segera bergerak  ke lokasi yang merangkumi tiga kapal dan sebuah bot Maritim Malaysia  di Miri bersama-sama tujuh kapal dan bot milik syarikat Petronas dan Shell,” katanya melalui kenyataan media.  

“Semua kru yang telah dijumpai telah diselamatkan oleh aset-aset bantuan dan kapal-kapal yang telah tiba di lokasi kejadian,” katanya lagi.

Beliau berkata, empat kru yang hilang semasa kapal karam, ditemui berhampiran lokasi kejadian pada  9.29 pagi tadi.

Katanya lagi, 124 kru kapal yang terjun ke laut berjaya diselamatkan, manakala seorang meninggal dunia.

Gambar-gambar kejadian berkenaan tular melalui media sosial pagi tadi.