SEMATAN: Sebanyak  1,100 unit tukun tiruan  ditanam di perairan Sampadi-Tanjung Datu. 

Usaha itu dilakukan Kerajaan Negeri itu menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg  sebagai usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan marin di kawasan terbabit sekali gus dapat membantu menambah hasil pendapatan nelayan di negeri ini..

Menurut beliau,  penanaman tukun tiruan  menerusi  Perbadanan Hutan Sarawak (SFC)   itu, jelasnya,  dapat membiak dan menghidupkan tumbuhan laut.

“Itulah sebabnya  RM70 juta  diperuntukkan untuk menanam tukun tiruan di seluruh perairan Sarawak dari Tanjung Datu hingga Lawas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Melabuh Tukun Tiruan di Perairan Sampadi-Tanjung Datu 2020 di Kem Putra Sentosa di sini hari ini. 

Untuk rekod, ini merupakan tukun tiruan  terpanjang di dunia. 

Jelas Abang Johari dengan adanya tukun tiruan, pendapatan nelayan meningkat  seperti dialami nelayan di Mukah dan Belawai apabila pendapatan mereka naik daripada RM100 kepada RM300 sehari.

Pada Jun lalu, Ketua Menteri berkata, projek tukun tiruan memainkan peranan penting bagi memastikan perairan negeri tidak sewenang-wenangnya diceroboh oleh pukat tunda haram yang boleh menyebabkan ekonomi perikanan negeri itu terjejas.

“Aktiviti yang dapat memudaratkan ekosistem perikanan, aktiviti pukat tunda haram di kawasan sekitar dapat diatasi dengan adanya tukun tiruan ini,” beliau dipetik berkata.

Pada majlis itu Abang Johari juga berkata kawasan Lundu, Sematan dan Telok Melano sangat cerah dari sudut pelancongan. 

Sebab itu katanya kerajaan negeri mahu membina jalan raya berkembar dari Kuching melimpasi Siniawan, Bau dan seterusnya bersambung dengan Lebuhraya Pan Borneo serta jalan dari Rambungan yang akan menghubungkan Lundu, Sematan dan Telok Melano. 

“Masa depan Lundu, Sematan, Telok Melano sangat cerah dari sudut pelancongan. Yang penting jaga alam sekitar. 

“Kalau pelancong banyak datang mereka akan menyewa perahu, tempat penginapan penuh, restoran pun penuh. 

“Ini rancangan jangka panjang kita. Kita teruskan usaha Tok Nan, Tok Nan sangat sayangkan Tanjong Datu dan saya percaya kita akan terus dapat membangunkan kawasan sekitar ini,” katanya. 

Pada majlis itu Abang Johari turut menyerahkan cek Program Pemuliharaan Penyu di Pulau Talang-Talang Kecil bernilai RM131,746 kepada Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani serta sijil Sukarelawan Renjer Penyu kepada 17 orang penerima.