KOTA SAMARAHAN: Sarawak merupakan negeri pertama yang mengeluarkan hidrogen hijau, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, Sumito Corporation dan Enoes berminat untuk membeli hidrogen yang dihasilkan Sarawak dan kedua-dua merupakan syarikat besar dari Jepun.

“Kedua-dua syarikat itu berada di pasaran untuk hidrogen premium berasaskan bahan mentah yang boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Lima Bulatan Sepanjang Jalan Kuching-Samarahan di sini.

Foto Ghazali Bujang

Tambahnya, harga pasaran untuk hidrogen ialah USD8 satu kilogram berdasarkan harga jualan semasa dan ia mampu memberikan pulangan yang signifikan kepada Sarawak.

“Eneos merupakan syarikat kepunyaan Nippon Oil yang memerlukan 300,000 tan hidrogen setahun, hidrogen dijual dengan kilogram dan kini kita dapat menghasilkan 10,000 tan setahun melalui loji di Bintulu.

“Ini bermakna jika kita gandakan 10,000 tan dengan 1,000 kilogram dengan USD8 itu merupakan jumlah pendapatan kita,” jelasnya.

Abang Johari memberitahu, beliau yakin bahawa Sarawak mampu memenuhi permintaan tersebut sekiranya operasi dipertingkatkan.

“Kita mempunyai kemampuan untuk meningkatkan pengeluaran, sekiranya loji hidrogen dapat menghasilkan 10,000 tan hidrogen tetapi loji tersebut boleh dikembangkan bergantung kepada permintaan.

“Terdapat dua jenis hidrogen iaitu hijau dan coklat. Kita merupakan negeri pertama di dunia yang mampu menghasilkan hidrogen hijau yang boleh diperbaharui.

“Manakala, hidrogen coklat pula merupakan jenis yang lain dan berasaskan gas serta mengeluarkan hidrokarbon,” tegasnya.

Sehubungan itu, untuk menggalakkan penggunaan kenderaan hidrogen beliau menggesa agar Kerajaan Persekutuan memberikan pengecualian cukai terhadap kenderaan yang menggunakan bahan bakar hidrogen.

Menurut Abang Johari, ia adalah sebagai langkah untuk menggalakkan penggunaan kenderaan hidrogen di negara ini sebagai usaha ke arah teknologi hijau.