KUCHING: Kesenian merupakan satu manifestasi tamadun yang berperanan besar dalam pembangunan sesebuah negara.

Berucap semasa program Muzikal Sarawak Harmoni ‘Hati Ke Hati‘ di Kuching malam Sabtu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Johari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak bakal membina sebuah Pusat Persembahan Kesenian serba canggih di Kuching dengan pengubahsuaian Bangunan Dewan Undangan Negeri Lama.

“Dalam RMK-12 ,kita memperuntukkan lebih RM 200 juta untuk membangunkan Dewan Undangan Negeri Lama dengan mempunyai panggung yang besar dan kecil beserta alatan yang canggih juga tempat riadah yang lain. Jadi ini sudah tentu memberikan tapak untuk kita membangunkan kesenian dan kebudayaan kita.”

Beliau menambah, dengan pembinaan tersebut ia dapat menyerlahkan dan mengangkat bakat dan kebolehan anak Sarawak ke peringkat lebih tinggi.

Program Sarawak Harmoni yang diadakan di Dewan Undangan Negeri Baharu tersebut bertujuan bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dalam memerangi penularan COVID-19 yang melanda seluruh dunia.