SEMATAN: Ketua Menteri berkata memadangkan tiada pengisytiharan darurat susulan  ancaman pandemik Covid-19,  maka  Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan diadakan pada waktu yang sesuai.

Beberapa hari lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin  mengemukakan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya darurat diisytiharkan bagi menangani kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat.

Lagipun, menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN)  sekarang hampir tamat.

Penggal DUN akan tamat pada bulan April  tahun depan.

Untuk itu, ujarnya,   mandat harus dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

“Kita tidak ada pilihan kerana darurat tidak dilaksanakan,” katanya. 

Susulan peningkatan kes Covid-19 di negarai kini, ada desakan supaya ditangguhkan PRN Sarawak.

Beliau turut  menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong  atas nasihat supaya ahli politik tidak terlalu berpolitik dan  supaya  rakyat Malaysia bersatu menghadapi Covid-19.

“Kita akan patuh kepada nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong,” ujar Ketua Menteri lagi. 

Katanya, beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP)  bagi membolehkan Sarawak mengadakan pilihan raya dalam keadaan yang terkawal.