TATAU: Pelbagai projek pembangunan infrastruktur telah disalurkan Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) di negeri ini termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, Undang-Undang dan Adat Bumiputera Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, sejak tiga tahun ini banyak projek pembangunan telah diadakan di DUN Kakus termasuk di kawasan Sungai Kakus.

“Pada tahun lepas, sebanyak 18 buah rumah panjang dari kawasan Ulu Kakus telah menikmati elektrik 24 jam melalui kemudahan Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

“Manakala, sejumlah RM15 juta telah diluluskan bagi penyediaan bekalan air di bawah Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS) untuk kawasan Rumah Ado, Rumah Jeffery Kitup, Rumah Kiah dan Rumah Jayan.

“Juga, projek menaik taraf jalan dari Nanga Kelebu ke Rumah Ado sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Januari 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Edward Jalin, Nanga Rungan, Kakus Tatau pada Sabtu.

Dalam pada itu, Datuk John Sikie yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus turut mengumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan sebanyak RM7 juta untuk menaik taraf jalan ke Rumah Edward Jalin, Rumah Tadong dan Rumah Nanang pada tahun ini.

“Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) juga telah bermula pada bulan September lepas bagi kemudahan penduduk dari kawasan Rumah Achun Kelebu sehingga ke Rumah Ado Lubok Kubong dengan peruntukan sebanyak RM14.3 juta,” ujarnya.

Beliau turut mengumumkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Edward dan RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Edward.

Hadir sama Pegawai Tadbir Daerah Tatau Calvin Ligong dan Penghulu Lubon Kinchang.