BINTULU: Rakyat diingatkan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang mengadu domba keharmonian penduduk dengan menjaja cerita palsu dan dongeng yang menimbulkan persepsi buruk terhadap GPS.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, ini kerana golongan itu bukan mahu membangunkan kawasan berkenaan, sebaliknya berniat memecahbelahkan keharmonian yang dinikmati selama ini.

Jelas beliau, GPS sentiasa berusaha menggotakan janji yang dibuat demi kesejahteraan rakyat. “Kerjasama antara kerajaan dengan rakyat membolehkan negeri ini lebih maju serta rakyat dapat hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu.

“GPS tidak pernah tidak tunaikan janji yang dibuat. Kita tunaikan demi kesejahteraan rakyat. Kita tidak mahu seperti DAP dan PH yang hanya pandai berjanji  tetapi tidak ditunaikan,” kata Adun Jepak itu pada penutupan Program AgriCop di Rumah Pada Selan, Kuala Annau dekat Tatau, pada Sabtu.

Beliau mengajak seluruh penduduk di kawasan Jepak berganding bahu dalam mempertahankan dan memperkukuhkan keharmonian serta perpaduan kaum yang lama terjalin.

Program keenam anjuran Jabatan Pertanian Bintulu ini disertai 120 peserta dari lima rumah panjang sekitar Kuala Annau iaitu Rumah Pada Selan, Rumah Jumput Sendok, Rumah Empaling, Rumah Robert Nyembong dan Rumah John Assan.

Antara intipati program adalah kursus teori dan taklimat tentang Program Pembangunan Pertanian, Perikanan Darat dan Agro Makanan.

Talib menyarankan agar program diteruskan pada masa akan datang kerana banyak memberi manafaat kepada masyarakat umum dan warga petani khasnya.