KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap agar semua ahli politik dapat mengambil pengajaran dan memahami maksud tersirat berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam iaitu tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Beliau turut menzahirkan hasrat menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Tuanku Majlis Raja-Raja yang telah mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam.

“Diharapkan semua ahli politik dapat mengambil pengajaran dan memahami maksud tersirat agar dihentikan segera segala ‘politicking’ yang boleh membinasakan negara dan menyusahkan rakyat.

“Atas semangat yang disarankan Presiden UMNO untuk dilakukan segera gencatan politik dan rekonsiliasi politik (Perdamaian Politik), Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan lima perkara,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal tersebut.

Beliau berkata, Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memanggil semua Presiden Parti Politik sama ada Kerajaan mahupun pembangkang bagi diadakan rundingan prapersidangan Parlimen bagi memastikan Belanjawan 2021 kelak diluluskan demi kesejahteraan rakyat.

Selain itu, ujarnya, Parlimen Batu Sapi dikekalkan status quo sebagai kerusi Parti Warisan tanpa perlu ditandingi oleh mana-mana parti politik dalam Pilihan raya Kecil yang tidak boleh dielakkan sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Libatkan wakil-wakil semua parti tidak kira Kerajaan dan pembangkang untuk berada dalam Jawatankuasa Khas bagi membantu menangani isu-isu berkaitan Pandemik Covid-19 dan dampak negatif yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat,’ katanya lagi.

Kata Dr Asyraf, rundingan bipartisan  antara kerajaan dengan pembangkang boleh diadakan secara berkala untuk memfokuskan segala agenda untuk membantu rakyat yang dalam keresahan akibat kesan kegawatan ekonomi yang makin meruncing.

Beliau juga menggesa dihentikan segala percaturan politik berebut kuasa dan jawatan Perdana Menteri buat sementara waktu sehingga selesai pertarungan rakyat menghadapi pandemik Covid-19 dan kegawatan ekonomi.