KUCHING: Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mencadangkan supaya Dana Warisan Petroleum Sarawak diwujudkan dengan sebahagian daripada hasil kutipan Cukai Jualan Negeri (SST) sumber minyak dan gas negeri, disalurkan ke dalam dana ini.

Menurutnya, untuk permulaan mungkin bajet RM1 bilion boleh dipertimbangkan untuk dana ini dalam Belanjawan 2021 Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Penubuhan dana ini Insya-Allah mampu membolehkan kerajaan negeri  menyediakan pendidikan tinggi percuma daripada peringkat sijil hingga ke peringkat doktor ijazah (PhD), yang disalurkan dalam bentuk dermasiswa atau biasiswa kepada seluruh rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan alu-aluan Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Ahad.

Konvensyen dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

Seramai 1,254 perwakilan daripada 26 cawangan menghadiri konvensyen ini.

Fadillah yang juga Naib Yang DiPertua Kanan parti berkata, dana ini juga boleh digunakan bagi membantu kumpulan B40, membina kediaman rakyat termiskin, malah mungkin juga boleh digunakan untuk memberi bantuan kewangan bulanan RM500 kepada warga emas yang hidup susah.

“Ini kerana data terkini menunjukkan 16 peratus warga emas di Sarawak hidup dalam kategori miskin dan hidup susah,” katanya.