KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menggesa ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) supaya menjadikan parti sebagai wadah perjuangan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memperkasakan pembangunan dan mempertahankan hak rakyat Sarawak.

Beliau yang juga Yang DiPertua PBB berkata, sungguhpun pemimpin dalam PBB bersilih ganti namun ahli-ahli parti hendaklah berada dalam satu barisan terus berjuang membangun dan mempertahankan hak Sarawak.

“Kita dalam PBB lebih pentingkan rakyat dan harapan kita ialah mahu melahirkan anak Sarawak menjadi jaguh dunia dan bukan jaguh kampung,” katanya pada perasmian Konvensyen Khas Parti PBB Zon Selatan (Kuching) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Konvensyen itu dihadiri 1,254 perwakilan daripada 26 cawangan parti itu.

Turut hadir, Timbalan Yang DiPertua Parti PBB merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang DiPertua Kanan Parti, Datuk Seri Fadillah Yusof, Setiausaha Agung Parti PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti, Pergerakan Pemuda dan Wanita.

Atas sebab itu, Abang Johari berkata, Sarawak merancang membangunkan lima sekolah antarabangsa untuk mendidik anak-anak Sarawak supaya muncul sebagai jaguh dunia dan pembinaan lima sekolah antarabangsa itu adalah mengikut undang-undang seperti yang dipersetujui dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Undang-undang itu masih diguna pakai dan kita jangan kalah dalam hal ini,” katanya merujuk kepada ulasan beberapa tokoh akademik bahawa penubuhan sekolah terbabit tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Begitu juga perkara berhubung  perlombongan minyak dan gas di negeri ini serta kawasan perairannya yang harus kita pertahankan kerana kita mempunyai hak ke atasnya mengikut Ordinan Perlombongan Minyak 1958,” tegas beliau.

Abang Johari menzahirkan rasa terkejut kerana generasi tua pada masa sekarang boleh menggunakan aplikasi online.

Beliau yang juga Pengerusi GPS turut menggesa ahli-ahli PBB supaya bijak menggunakan media sosial dalam menangkis serangan pihak lawan yang memburukkan parti serta pemimpinnya.

Ketua Menteri juga memberitahu syarikat gergasi elektronik Jepun ‘Taiyo Yuden’ akan menambah pelaburan sebanyak RM5 bilion untuk memperbesarkan kilang di Sama Jaya.

Katanya, sebuah syarikat dari Korea juga berminat melabur secara usaha sama menghasilkan kaca daripada pasir silica di negeri ini.

Justeru, GPS menjadi wadah yang didukung oleh PBB untuk menjayakan  program yang hendak dilaksanakan kerajaan sambal menjaga perpaduan dan kestabilan politik, tegas beliau.

“Dalam politik, PBB lebih pentingkan rakyat daripada mengadakan pilihan raya awal memandangkan ancaman Covid-19 sekarang. Kita akan memberi keutamaan dalam semua perkara supaya tidak menyusahkan rakyat,”

katanya sambil mengumumkan Kerajaan GPS meluluskan untuk melanjutkan moratorium sehingga Disember, 2020.

Dalam masa lebih seminggu lagi, Kerajaan GPS akan mengumumkan berita baik untuk rakyat Sarawak,

tegas beliau dan menambah, Sarawak akan turut membuka pejabat perdagangan di Pontianak dan Brunei dalam masa terdekat.