ALHAMDULILLAH hari ini kita dapat menghadiri konvensyen PBB untuk kawasan selatan selepas kita adakan di Miri pada 5 September yang dipengerusikan oleh Datuk Amar Awang Tengah (Timbalan Ketua Menteri). Selepas itu di Betong pada 26 September yang dipengerusikan oleh Datuk Amar Douglas Uggah (Timbalan Ketua Menteri) yang juga pengerusi utama konvensyen kita.

Pada 3 Oktober pula, di Sibu yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan akhirnya pada 25 Oktober untuk zon selatan di BCCK.

Tahniah dan syabas kepada mereka yang telah mengelolakan konvensyen kita. Hari ini, 25 hari bulan, kita berkumpul di BCCK dan kira-kira tiga tahun lepas kita juga mengadakan konvensyen di tempat yang sama.

Tapi kali ini kita terpaksa bahagikan kepada empat disebabkan oleh Covid-19. Norma baharu. Datang pun bertopeng. Kadang-kadang tidak kenal siapa di belakang topeng. Kedua kita terpaksa duduk jarang-jarang. Tidak boleh dekat, takut berjangkit dan sebab itu, mahu tidak mahu kita patuh kepada SOP dan PBB memang parti yang patuh kepada undang-undang.

Sebab itu kita hari ini membincang perkara, masalah negara dalam lingkungan SOP kerana kita sayang kepada Malaysia lebih-lebih lagi Sarawak.

Kita mahu rakyat kita aman dan sihat. Saya ucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bawah Datuk Amar Douglas Uggah yang telah dapat mengurangkan Covid-19.

Walaupun hari ini ada bertambah nombornya. Apa boleh buat, banyak import. Kita mempunyai sempadan yang begitu luas dan banyak juga orang yang hendak datang ke Sarawak walaupun kita kata perlu dikuarantin.

Akhirnya terkena juga kes import ini. Kalau cukai import tiada masalah. Tetapi ini import kuman yang tidak dapat dilihat. Itu masalahnya. Kuman Covid-19 tidak dapat dilihat. Ini yang bahaya bila kita ada musuh yang tidak dapat dilihat.

Walaupun tidak dapat dapat dilihat, biar kita di PBB perangi ia jua.

Agenda Pembangunan

Saudara saudari, saya ingin berkongsi mengenai apa yang kita telah lakukan selepas tiga tahun dan menyambungkan tugas pemimpin sebelum itu, termasuk Allahyarham Tok Nan (mantan Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem ) yang berjaya dalam pilihan raya yang lepas dan meninggalkan kita.

Dan, kita teruskan usaha Allahyarham Tok Nan. Pertamanya, saya hendak kongsi mengenai infrastruktur Sarawak. Ingat Tok Nan cerita pasal jalan raya, patah tulang belakang kita.

Dengan jalan raya yang ada di Sarawak, maka dengan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan, kita binalah Lebuh Raya Pan Borneo, supaya macam Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Timur Barat di Semenanjung.

Kita di Sarawak nak pergi Limbang dari Kuching, patah belakang macam gelombang. Maka kita bangunkan lebuh raya Pan Borneo dari Telok Melano sampai ke Lawas. Ini impian Tok Nan buat jalan. Saya sambung jalan pesisir dari Telok Melano juga, kita buat jalan pesisir melimpasi jalan persisiran. Hanya yang teruk jalan pesisir banyak sangat batang. Batang Lupar, Batang Sadong, Batang Samarahan, yang dijaga semua Ahli Parlimen wanita.

Batang Krian, Batang Lassa, Batang Paloh, Batang Kemena, semua batang.

Untuk menyeberangi batang ini, kosnya mahal untuk membuat jambatan. Baharu sahaja kita hendak bermula, Kerajaan Persekutuan bertukar kepada PH (Pakatan Harapan) dan PH batal jambatan kita termasuk Jambatan Rambungan di kawasan selatan.

Jadi apabila semua dibatalkan, apa cara kita? Saya dengan rakan kabinet negeri ambil keputusan, kita teruskan perjuangan ini buat jalan pesisir walaupun mereka batalkan.

Apabila jambatan dibatalkan kerana mahukan dana yang besar, maka kepimpinan kita mencari jalan untuk mendapatkan dana. Dan di sini, saya kata pada konvensyen yang lepas kita ada hak dalam perlembagaan untuk melaksanakan cukai jualan di sini.

Saya tunjukkan anda peruntukan perlembagaan. Selepas saya berjanji dengan anda, saya usahakan untuk laksanakan cukai tersebut kerana kita ada hak dalam minyak dan gas di Sarawak.

Bak kata Adenan, kalau di Terengganu, aku tidak peduli, kalau Kelantan aku tidak peduli. Kalau di Sarawak aku peduli – dan saya sambung hak kita dalam minyak dan gas.

Sarawak ada duit

Apa yang berlaku, Petronas tidak mahu bayar. Apabila tidak mahu bayar, ok lah PBB saman Petronas di mahkamah. PBB dan rakan kita dalam GPS, kita saman. Kita saman, kita lawan di mahkamah, akhirnya mahkamah buat keputusan berpihak kepada kita. Kita yang menang dalam mahkamah.

Tuan-tuan, datanglah rezeki kita RM2.95 bilion campur lagi dengan Shell dan Murphy, kita dapat lebih kurang RM3.2 bilion tambahan pendapatan Sarawak.

Bayangkan lima tahun, RM15 bilion beres semua jambatan. Dalam masa lima tahun akan siap semua termasuk jalan Samarahan-Kuching Expressway. Samarahan ini berpadat sahaja, orang asyik mengadu. Kita buat sahaja, lampu isyarat pintar di lima bulatan.

Selepas itu kita buat jalan raya baharu lagi yang disebut Samarahan Expressway yang menuju dekat Tanjung Bako, kita buat lagi jambatan menyeberang ke Sejingkat dan ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Jalan itu terus menuju ke Santubong, Jalan Sultan Tengah, jadi kita ada dua jambatan dan jalan raya baharu termasuk di Kuching ini.

Kalau jambatan itu kita buat, di tengah dan juga utara. Di selatan juga kita buat yang akan menghubungkan kawasan baharu.

Ini infrastruktur kita. Yang kedua saya nak kongsi ialah sudut pertanian. Apabila kita membina jalan maka kita dapat membuka kawasan tanah kita. Satunya untuk pertanian dan kita gunakan pertanian moden menggunakan digital, Internet Kecerdasan Buatan (IoT) termasuk fertigasi supaya kita dapat jualkan hasil di luar negara.

Mencipta negeri digital

Kalau di Sarawak sahaja tidak mencukupi, populasi kita hanya 2.8 juta, kita terpaksa jual di luar Sarawak. Kita guna digital, apabila awal-awal dahulu, saya mengesyorkan ekonomi digital.

Ada yang kata, apa Abang Jo, sibuk dengan digital, tahun 2017. Ada sahaja Covid-19, semuanya perniagaan dalam talian. Beli ikan pun dalam talian. Beli sayur dalam talian. Yang membuat saya berasa terkejut, orang tua pun boleh guna sistem dalam talian.

Selepas itu timbul Grab, satu perniagaan baharu. Grab yang menghantar makanan. Kita tahu mereka yang dari Buntal, Bako di sini, anda ada persatuan nelayan. Anda gunakan sistem dalam talian. Kalau kita tidak ada sediakan pada 2017, mungkin hari ini kita masih ketinggalan menguruskan perkara menggunakan sistem dalam talian.

Disebabkan kita dah bersedia, rakyat Sarawak pandai menggunakan digital.

Alhamdulillah! Bayar pun guna Sarawak Pay.

Negeri yang pertama ada pembayaran mudah alih ialah Sarawak dalam Malaysia! Kita gunakan pembayaran mudah alih.

Alhamdulillah, hari ini baharu mereka tahu, patutlah Abang Jo laksanakan digital.

Jangan puji saya. Pujilah PBB yang mengusulkan ekonomi digital.

Jadi tuan-tuan, adik kakak sekalian, inilah perubahan yang kita telah buat dalam tempoh tiga tahun.

Dari sudut perniagaan dan dari sudut perhubungan, WhatsApp pun banyak, Instagram pun banyak, Facebook pun banyak. Sebab sudah ada saluran. Ada yang cakap, Abang Jo, kitak molah tok, nyuruh orang molah fitnah dengan kita. Saya kata rakyat Sarawak tahu antara fitnah dengan benar. Orang Sarawak ada akal, yang mana fitnah, yang mana bukan. Kita teruskan sahaja. Jangan takut dalam perjuangan. Kita ambil risiko dengan niat yang baik.

Sebab itu seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri Fadillah Yusof (Menteri Kanan Kerja Raya/ Ahli Parlimen Petra Jaya) tadi, kita mesti tahu hal Whatsapp ini, media sosial, kita tangkis dengan media sosial. Jika orang tahu tentang media sosial tetapi kita tidak, bagaimana hendak bersilat?

Perjuangan mesti termasuk tahu berkenaan dengan silat juga. Seperti yang sambut saya pada awal tadi. Kalau orang marah PBB guna media sosial, kita tepis dengan media sosial juga.

Jangan takut. Kita mesti tahu. Sebab itu kita melihat menteri kita banyak guna media sosial, Fadillah, Douglas (Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah), Datuk Wan Junaidi (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi/Ahli Parlimen Santubong) Saya tengok Datuk Wan Junaidi, maklumlah orang jaga bank rakyat. Beliau tolong kita.

Usahawan kecil dan sederhana dan banyak menteri serta pemimpin kita yang lain. Jadi kita mesti tahu bersilat. Kalau orang buka bunga 10, kita buka bunga 11. Jadi inilah apa yang berlaku dan dalam sudut pertanian.

Bangga tubuh TVS

Kita gunalah cara baharu. Saya berterus-terang dengan anda. Saya tengok dalam TVS hal penduduk tanam sayur dalam program TVS. Sarawak adalah negeri pertama di Malaysia yang ada televisyen sendiri. Negeri lain sikda you! Sarawak sahaja yang ada.

Orang lain cemburu. Saya tahu ada seorang menteri dari negeri jiran minta stesen televisyen, tapi apabila tengok kos, tidak berani, kecut.

Kita Sarawak, tengok kos, teruskan sahaja! Kita buat TVS. Maklumlah sudah ada duit daripada Petronas.

Orang yang membaca berita kita dalam TVS pun, boleh tahan juga. Dan di sinilah pertanian moden kita laksanakan dan alhamdulillah makin bertambah eksport kita.

Tiga minggu yang lepas orang Singapura membeli sayur midin. Kita di sini melihat sahaja Singapura beli midin kita hantar dengan menggunakan kapal terbang ke Singapura.

Nampaknya, orang Singapura suka dengan midin, harga pun tinggi di Singapura. Adakah mereka ini sudah terkena ‘getah’ pokok midin? Mula-mula midin saya fikir tidak tahan dua hari, kata mereka kita ada Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (Statos) di Jalan Robinson, Singapura. Kalau ikut apa yang mereka maklumkan midin datang ke Singapura masih dalam keadaan segar dan daun tidak hitam.

Jadi banyak mereka menambah midin. Nombor dua, siapa sangka ikan patin juga mendapat permintaan dari Singapura dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas terpaksa menghantar ikan patin dari Batang Air (patin Perak). Harga mahal di Singapura, dahulu ikan patin kita lihat sahaja jadi kalau kita dapat rezeki daripada ikan patin, dapat daripada ikan talapia mereka belum lagi melihat ikan mahal (ikan empurau). Patin dan Empurau Ikan empurau boleh dipelihara kini, ikan patin juga boleh dipelihara tetapi perlu menggunakan teknologi sebab itu Douglas Uggah minta semua petani menggunakan teknologi dan kita jual di luar negara, inilah hasil dari Sarawak.

Sudah berlaku, kalau tidak berlaku saya tidak akan menceritakan perkara ini. Kerana ini telah berlaku, siapa sangka midin boleh dijual di Singapura saya ingat boleh dijual di Pasar Satok sahaja. Dahulu di Pasar Padang Pasir, Pasar Ceko dan kini di Singapura.

Jadi tuan-tuan, inilah kisah pertanian kita yang sudah menunjukkan kemajuan, dan kita sudah membina jalan raya. Kebun kita aturkan betul-betul mengikut teknologi baharu sebab itu kita ada dasar baharu apa yang disebut sebagai Taman Pertanian (Agro Park) yang dilengkapi dengan alat digital di dalam kebun dan sekarang kita melaksanakannya.

Ini dari sudut pertanian. Ketiga, dari sudut pendidikan kita sediakan institusi pembelajaran kita iaitu sekolah antarabangsa, ini mesti dimasuki oleh pelajar cemerlang.

Jadi, dengan ini mereka boleh bersaing sesama sendiri. Apabila bersaing, mereka boleh mendapatkan standard yang tinggi dan juga peperiksaan mengikut sukatan pelajaran antarabangsa.

Akhirnya, mereka yang keluar daripada sistem ini adalah anak jaguh dunia bukan jaguh kampung. Tetapi, yang dapat masuk ke sekolah ini adalah anak orang kaya. Anak petani, anak nelayan yang pandai tidak mendapat peluang ini. Jadi dengan itu kita kita memberikan peluang kepada mereka dengan membina lima sekolah antarabangsa untuk anak petani, anak nelayan kita pandai dan tidak dapat pergi ke sekolah antarabangsa swasta.

Memang yuran mahal, kerana guru-guru juga merupakan mereka yang pintar belaka. Kita wujudkan lima buah tersebut, yang pertama masih dalam pembinaan di Semenggo sekarang ini.

Yuran GPS tanggung, apa yang dikatakan oleh Fadillah tadi RM1 bilion, akan kita peruntukan untuk sekolah ini supaya anak kita yang lahir daripada sistem pendidikan di Sarawak menjadi jaguh dunia bukan jaguh kampung. Ini yang kita hendak lahirkan, tetapi tiba-tiba seorang profesor dari Semenanjung mengatakan kita melawan undang-undang yang ada di Malaysia, paloi! Kerana dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), dasar semasa negeri-negeri di Borneo mengenai penggunaan Bahasa Inggeris harus diteruskan, Kecuali ditentukan oleh Dun.

Jadi Jaguh Dunia

Ketika ini belum lagi, sistem kita menggunakan Bahasa Inggeris sebab itu Allahyarham Pehin Sari Adenan Satem (Tok Nan) mengatakan kita perlu menguasai kedua-dua bahasa (Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu).

Bahasa Melayu wajib kerana ia merupakan bahasa kebangsaan. Bahasa Inggeris juga perlu dipelajari baharu dapat baca “manual”.

Kalau kita buka komputer riba pertama kali apa kita buat adalah mencari manual, macam mana uruskan komputer riba?

Maka undang-undang kita masih wajar, saya memberitahu Datuk Amar Michael Manyin Jawong (Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan) mengeluarkan kenyataan bahawa Sarawak tidak melanggar undang-undang dan ini adalah laporan IGC yang ada pada kita, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jangan kalah. Bukti jelas ini ada dalam sistem pendidikan. Apabila kita dapat melahirkan anak kita sebegini rupa mereka boleh pergi ke pendidikan luar negara kerana Yayasan Sarawak sudah mempunyai kerjasama dengan London School of Economic, Cambridge University, Oxford University dan Stanford University di Amerika Syarikat, inilah universiti yang keluarkan Bill Gates. Stanford ini juga yang mengeluarkan Mark Zuckerberg yang mencipta Facebook yang kita gunakan. Inilah universiti mereka. Apa salahnya kalau kita hantar orang Sarawak ke sana?

Jika mereka boleh masuk kita hantar, biasiswa kita akan tanggung, GPS tanggung akan biasiswa dan kita beri biasiswa kepada anak kita. Perkara yang dinyatakan oleh Datuk Seri Fadillah Yusof tadi sudah kita laksanakan, terima kasih Fadillah kerana mengingatkan kita supaya mempunyai peruntukan untuk pelajar-pelajar.

Bagi mereka yang berhutang dengan PTPTN, kita juga tolong kerana mereka tidak akan boleh keluar negara kerana masih berhutang.

Jadi kita bantu lunaskan hutang mereka, tetapi mereka perlu membayar semula kepada kita tanpa faedah.

Kuasai Minyak dan Gas

Kita laksanakan dengan cara ini, seperti Yayasan Sarawak. Alhamdulillah Yayasan Sarawak, orang bayar hutang tanpa faedah jadi kita gunakan ini untuk anak-anak kita pada masa hadapan. Ini pendidikan.

Keempat, kuasa minyak dan gas, minyak dengan gas kita ada undang-undang Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO). Selagi hasil bumi kita dalam tanah dan di bawah tanah kita ia adalah hak orang Sarawak. Kalau ingin mengambilnya perlu memberikan salam (assalamualaikum) dahulu kepada orang Sarawak.

Mesti ada lesen yang dikeluarkan oleh Sarawak dan ia hak kita. Selagi ada kuasa territorial kita akan pertahankan jua, sebab itu tuan-tuan saya umumkan satu lagi Taman Marin di Bintulu, ia adalah tanah Sarawak telah saya wartakan walaupun ada negara lain mempersoalkan.

Mereka kata itu hak mereka tetapi sebenarnya hak kita kerana terdapat sumber berharga di dalam dasar laut berkenaan.

Oleh itu, kita harus mempertahankan hak kita. Insya-Allah dalam masa seminggu lebih lagi. Saya akan umumkan satu dasar yang mengguatkan hak kita di negeri ini.

Dari sudut industri minyak dan gas, seperti yang kita tahu akan membina stesen Petros Sarawak. Kita ada tiga dalam satu, di seberang sana hanya menjual minyak sahaja. Kita menjual bateri kerana ada kenderaan yang menggunakan hidrogen.

Tiba-tiba seorang pemimpin pembangkang bertanya untuk apa membuat hidrogen kerana kosnya mahal.

Tetapi kita di dalam PBB ada visi. Gas hidrogen memang mahal tetapi dalam masa 15 tahun lagi harga bahan bakar itu akan murah. Ini sama seperti harga telefon bimbit zaman dahulu yang mahal dan sekarang telefon pintar jauh lebih murah berbanding zaman dahulu.

Kerajaan GPS ingin mempromosikan tenaga hijau untuk diimport keluar iaitu berteraskan tenaga yang boleh diperbaharui. Jepun memang ada membeli dari Brunei dan Australia tetapi ia berbentuk gas atau hidrogen coklat.

Kita mempunyai tenaga hijau yang keluar daripada air. Dalam Sarawak banyak air, kita ada Batang Ai, Murum dan Bakun yang telah kita ambil daripada Kerajaan Persekutuan. Dari dahulu Jepun meminta kerjasama negara untuk mengeluarkan hidrogen.

Syarikat Sumitomo yang terbesar di Jepun, Nippon Oil meminta kerjasama mengeluarkan 10,00 tan hidrogen di Bintulu. Harga hidrogen itu satu kilogram USD8 dan kita mengambil sedikit cukai pendapatan.

Kita akan usahakan undang-undang baharu mengenai tenaga hijau iaitu karbon kredit. Kita akan usahakan undang-undang tersebut di masa akan datang.

Perpaduan Pelbagai Kaum

Dari sudut kesenian pula, Sarawak kaya dengan keunikan, baik, aman dan makmur serta bersatu padu.

Saya sendiri terkejut apabila Datuk Liwan Lagang selaku menteri yang bukan beragama Islam meminta dana daripada saya untuk membina masjid di Belaga.

Beliau menyatakan bahawa berterima kasih kerana meluluskan dana RM10 juta. Beliau juga meminta meluluskan jumlah dana yang sama untuk membina masjid. Saya terus meluluskan dana tersebut. Beginilah hidup kita di Sarawak hidup dalam harmoni walaupun berbeza kepercayaan.

Melihat kepada pemerintahan Nabi Muhammad S.A.W yang pertama ditegakkan di Madinah, ia adalah berteraskan kepada piagam Madinah dan oleh itu, ia perlu ditegakkan dalam memberi keadilan kepada orang Islam dan orang bukan Islam.

Hal ini kerana, keadilan dalam pengurusan masyarakat perlu adil kerana dasar inklusif saya sebagai Ketua Menteri adalah untuk semua kaum di Sarawak.

Dalam memberi keadilan kepada pengurusan semua masyarakat di Sarawak, kita telah membina kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama lain (Unifor) supaya masyarakat bukan Islam dapat berkumpul dan mengatur cara hidup mereka melalui agama masing-masing.

Walaupun negeri tersebut maju, kita tidak mahu tiada individu yang pergi ke tempat-tempat ibadat seperti gereja dan sebagainya kerana agama membangunkan peribadi kita.

Apabila kita mempunyai tiang agama, ia akan mencerminkan peribadi kita sebab itu apabila kita rasa kita sedikit terpesong kita perlu luruskan hala tuju tersebut ke arah yang lebih baik.

Jika kita melihat di semenanjung, mereka lebih mementingkan politik iaitu dalam merebut jawatan Perdana Menteri dan saya akui dahulu saya memberi sokongan kepada Muhyiddin Yaasin kerana pada masa itu negeri sedang kucar-kacir.

Kejayaan GPS

Justeru, parti politik Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memberi keputusan untuk menyokong Perikatan Nasional demi rakyat di Sarawak, kerana kita mahu kerajaan yang stabil.

Semalam, terdapat wartawan yang bertanya kepada saya apa pendirian Sarawak namun saya tidak dapat memberi respons kerana belum ada keputusan yang muktamad.

Hal ini kerana, kesihatan di Sarawak adalah lebih penting daripada pilihan raya namun di Sarawak, tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (Dun) semakin hampir dan mandat kita juga semakin habis.

Jika kita tidak mempunyai mandat tersebut, bagaimana kita hendak menguruskan Sarawak seperti Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak yang hendak menguruskan masalah di Sarawak.

Bagi kami dalam GPS, kami sangat mengutamakan rakyat dahulu dan mengenai PRN-12, kita belum dapat menentukan bila ia diadakan kerana kita perlu melihat kepada situasi semasa.

Jika kita lebih memfokuskan ke arah politik, rakyat akan melihat perkara begini mereka seakan jijik dengan politik dan syukur di Sarawak kita lebih mementingkan rakyat dari politik.

Pada Jumaat lalu, saya telah mengumumkan bantuan BKSS untuk rakyat Sarawak dan pada hari ini saya akan menambah bantuan kepada rakyat supaya moratorium pinjaman akan dilanjutkan sampai Disember.

Hal ini kerana, kita tahu banyak rakyat yang akan terjejas dalam pandemik Covid-19 ini dan sebab itu kita bantu mereka melalui bantuan BKSS seperti bantuan pemandu e-hailing dan sebagainya untuk membantu rakyat yang berada dalam kesusahan.

Begitu juga dengan PBB, saya tahu mereka adalah daripada golongan yang baik dan berkat daripada itu mereka sering mengutamakan perjuangan mereka untuk rakyat dari dahulu sehingga sekarang.

Kita utamakan perjuangan kita untuk rakyat dan ini menjadi teras perjuangan PBB. Saya selaku pemimpin, ini adalah kerja kita, mudah-mudahan mendapat pahala.

Sekarang ini, Tuhan tidak bagi lain kepada saya selain kesihatan. 70 tahun umur saya ini masih boleh bermotosikal ke Kapit. Ini anugerah Tuhan kepada saya. Kerana kita orang yang baik belaka. Sebab inilah kita membantu apa yang boleh.

Anak baharu lahir kita bagi RM1,000, tidak mengira latar belakang, secara sendirinya anak tersebut mendapat RM1,000. Kita tolong para ibu lagi waktu berpantang tiga bulan.

Kalau dia kerja hari, tiga bulan tiada gaji. Masa itulah dia memerlukan duit untuk membeli keperluan anak.

Kita bagi bantuan RM450 kepada golongan ini. Sampai meninggal juga dibantu.

Sesiapa yang memiliki Kenyalang Gold Card, kerajaan bagi RM3,000 sekiranya meninggal. Saya bantu untuk membeli barangan keperluan lain.

Kain kafan naik harga. Sehingga meninggal kita membantu. Apabila kita membantu, Tuhan memberi kita pahala. Inilah yang kita buat dalam PBB dan GPS.

Tetapi yang penting adalah perpaduan kita sekarang ini, pelaburan datang ke Sarawak.

Saya bawa syarikat dari Jepun datang melabur dalam hidrogen. Mereka melabur disebabkan negeri kita aman. Juga pelabur dari China. Begitu juga dari Korea, syarikat membuat kaca kerana pasir silika kita berkualiti tinggi.

Dahulu kita eksport ke Jepun pasir silika kita untuk membuat kaca, lepas itu kita beli lagi kaca daripada mereka. Sekarang, kita kerjasama dengan syarikat Korea membuat kaca. Kita buat pelaburan. Pelaburan ini datang sebab kita aman, kita stabil.

Oleh itu, kita jagalah kestabilan politik kita. Kita kerja kuat-kuat, kita pertahankan kestabilan yang ada pada kita. Kita tahu sekarang ini kita mengeluarkan elektrik ke Kalimantan Barat. Waktu Covid19, pihak Kalimantan meminta tolong kita mengeluarkan minyak masak, gula dan beras.

Jadi kita buat perhubungan dengan Kalimantan sangat baik. Maka kita akan buka pejabat kita di Pontianak iaitu Pejabat Perdagangan.

Kita menjual gas di sana. Kalau tidak ada arah melintang, bulan dua akan datang kita akan ada gas petroleum cecair (LPG) kita sendiri iaitu Petros.

Ini ada masa depan untuk kita membekalkan gas. Selain itu, kita ada juga pejabat di Brunei, kita juga dapat berdagang di sana. Kita ada kolaborasi ternakan di sana seperti ternakan kerbau.

Kerana mereka kata susu kerbau sihat. Inilah perjuangan kita dalam PBB. Perjuangan diteruskan, pemimpin bertukar ganti tetapi semangat PBB memperjuangan hak Sarawak, meletakkan Sarawak negeri maju 2030 menjadi perjuangan kita untuk Sarawak.