KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, melancarkan sebuah buku bertajuk “Sayap Perjuangan-Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini semalam.

Pelancaran buku itu diadakan semasa Konvensyen Khas Parti PBB Zon Selatan, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Naib Ketua Pergerakan Wanita PBB, merangkap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, buku tersebut diilhamkan oleh mantan Ketua Pergerakan Wanita PBB, Tan Sri Dato’ Sri Empiang Jabu sebelum menamatkan jawatan dalam parti.

“Buku itu menceritakan bagaimana penglibatan wanita PBB dalam politik, sejak dari dahulu lagi dan perancangan untuk menerbitkan buku ini wujud sejak tahun 2017,” katanya pada sidang media berhubung pelancaran buku tersebut, di sini hari ini.

Nancy berkata, buku ini bermula dengan sejarah Kaum Ibu (Pergerakan Wanita) yang terlibat dalam kegiatan antipenyerahan pada tahun 1946, dan berakhir dengan status Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekarang.

“Penting untuk mengetahui peranan pelopor yang banyak menyumbang kepada permulaan dan pertumbuhan sayap wanita PBB dan perkembangan semasa yang sedang berlaku,” katanya.

Katanya, wanita ini sebenarnya secara tidak langsung terlibat dalam politik. Ramai wanita ini menjadi suri rumah, namun sebenarnya  banyak berjuang di belakang tabir.

Sehubungan itu, Nancy berkata, Tan Sri Dato Sri Empiang memberi inspirasi kepada Jawatankuasa Pengarang yang diketuai oleh beliau sendiri, agar projek ini dapat dilaksanakan.

Ini kerana, katanya, pengalaman bermula dari masa muda adalah unik dan harus dikongsi bersama-sama dalam kalangan generasi muda agar mereka dapat menghargai peranan untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi

Justeru, selain untuk dijadikan kenangan, ia boleh digunakan sebagai rujukan sesiapa sahaja yang ingin mengetahui perjalanan perjuangan wanita dalam PBB.

Sementara itu, buku yang mempunyai 180 halaman ini merangkumi wawancara Ketua Menteri berhubung harapan masa kini dan masa depan wanita yang turut memainkan peranan memimpin negeri.

Berhubung buku tersebut, ia boleh didapati harga RM50 untuk kumpulan pertama di pasaran. Harga sebenar ialah RM100.

Buku ini disediakan dalam dua versi bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Katanya, versi Bahasa Inggeris sudah ada manakala untuk versi Bahasa Melayu perlu membuat tempahan terlebih dahulu dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.