LUBOK ANTU: Proses penyukatan tanah memerlukan persefahaman dan kerjasama penduduk kampung bagi memastikan tidak berlaku sebarang gangguan yang tidak munasabah.

Justeru, Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, beliau amat menghargai semangat kerjasama komuniti kawasan Engkari yang padu menyokong setiap projek kerajaan yang diimplemenkan di kawasan tersebut.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam perasmian Majlis Penutupan Dialog Pengukuran Individu Tanah Hak Adat Bumiputera Di Bawah Inisiatif Baru NCR Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bertempat di Rumah Liam, Rantau Kemayau Manis, Ulu Engkari, Lubok Antu pada Jumaat.

Beliau turut meluluskan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dengan jumlah RM20,000 untuk JKKK Rantau Kemayau Manis.

Sementara itu, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak merangkap ADUN Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh dalam majlis sama menyeru rakyat untuk tidak mendengar hasutan daripada orang luar yang menuduh kerajaan akan merampas tanah kerana perkara tersebut adalah tidak benar.

Justeru, dialog yang dilakukan oleh jabatan tanah dan Survei itu memberi penerangan yang cukup jelas kepada penduduk setempat berkenaan dengan Tanah NCR.

Malah ujarnya lagi, rakyat sangat beruntung kerana tanah disukat secara percuma, tiada bayaran premium dan rakyat mendapat surat hak milik.

Datuk Dr Malcolm juga berkata, beliau berharap penduduk setempat dapat menikmati dan memanfaatkan sepenuhnya serta menggunakan kemudahan asas bekalan elektrik yang disediakan untuk membantu meningkatkan sosio-ekonomi  tempatan dan taraf kehidupan.

Dalam majlis yang sama, Datuk Dr Malcolm turut meluluskan peruntukan RTP JKKK dan Gerempung Indu.