SAMARAHAN: Program Kayuhan Harmoni Mesra Ummah dan Corporate Social Responsibility (CSR) merupakan aktiviti sosial Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bersama ummah dan masyarakat.

Program JAIS tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, hari ini bersempena Jubli Mutiara JAIS 2020 PAIB Samarahan.

Bukan sahaja menjadi aktiviti sosial bagi JAIS, ia turut mendekatkan lagi JAIS dengan masyarakat bagi memberi kesedaran kepada kakitangan dan masyarakat tentang amalan hidup Islam, menerapkan misi jabatan dalam penganjuran sesuatu program, menyemai semangat persaudaraan dalam membangunkan sahsiah peribadi dan mengukuhkan jaringan kerjasama pintar dengan rakan agensi dan badan amal.

Seramai 30 orang peserta kayuhan telah menyertai konvoi yang terdiri daripada kakitangan JAIS, Bank Rakyat Cawangan Samarahan, JKP Masjid dan Surau sekitar Samarahan yang telah diketuai oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Khalidi Ibrahim.

Kayuhan dimulakan dengan acara flag off yang telah disempurnakan oleh Rubiah Wang, Ahli Parlimen Kota Samarahan yang turut serta menyantuni seramai 20 asnaf di sekitar Kampung Tanjung Bundong dan Kampung Sindang.

Turut berlangsung dalam program ini aktiviti Gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Meranek yang turut disertai rakan agensi,NGO, ahli kariah dan ahli Waris.

Dalam ucapan penangguhan, Pengarah JAIS mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama semua pihak dalam menjalankan program yang diadakan ini.

Beliau juga meningkatkan agar masyarakat Islam di Samarahan untuk terus membantu pihak Jabatan Agama Islam Sarawak dalam mengembangkan syiar Islam dengan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar terutamanya yang berkaitan kebersihan.