LUNDU: Penduduk Lundu kini menikmati manfaat dari pelbagai projek pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu memaklumkan sebanyak 13 buah projek yang terdiri daripada projek Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan PPRT telah siap di kawasan Sungai Lundu dan ada yang masih berada dalam proses tender.

Kesemua projek tersebut dianggarkan bernilai RM3.7 juta, katanya semasa Program Sepakat @ Komuniti Daerah Lundu di Kampung Sungai Lundu, Lundu pada Jumaat.

Datuk Amar Jamilah turut memberitahu sebanyak sembilan buah rumah telah siap dibaik pulih di bawah PPRMS.

Katanya lagi, di bawah Geran MRP, kerja membaik pulih bumbung baru di Dewan Kampung Sungai Lundu telah siap dengan kos RM35,000 termasuk membaik pulih lantai rumah roboh Pita Bekut dengan kos RM4,500.

Selain itu katanya, projek rakyat iaitu Benteng Hakisan Tanah di Kampung Blacksmith Lundu masih di peringkat tender dengan anggaran kos RM3.5 juta.

Pada program itu juga, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 10 asnaf dan geran kepada Lembaga Pengurus SJK Chung Hua Serayan/Selarat Lundu sebanyak RM3,000 dan Persatuan Ibu Bapa Guru SK Pueh Lundu sebanyak RM5,000.

Ketua Pergerakan Pemuda PBB Tanjong Datu yang juga Pengerusi SEBERKAS Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan turut memberi sumbangan kepada 20 asnaf.