KOTA SAMARAHAN:  Untuk beberapa tahun pengguna jalan raya Kota Samarahan-Kuching dicengkam kesesakan lalu lintas ketika pergi dan balik dari tempat kerja.

Kerajaan Sarawak prihatin akan rungutan dan masalah yang dihadapi mereka.

Justeru, langkah tegas dan konkrit diambil untuk meleraikan masalah yang menghantui para pengguna jalan raya berkenaan.

Untuk itu, satu lagi  lebuh raya yang akan dihubungkan terus ke Petra Jaya dari Samrahan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Lima Bulatan Sepanjang Jalan Expressway Samarahan-Kuching di sini,  semalam. 

Beliau  berkata, projek  terbabit sudah  pada peringkat reka bentuk dijangka dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

“Ini sebagai alternatif kepada expressway Samarahan,” katanya sambil menambah hal ini kerana  dalam masa tiga tahun selepas projek rangkaian jalan pesisir siap dijangka  menyebabkan aliran trafik semakin banyak melalui jalan tersebut.

Jelas Abang Johari lagi, baharu ini akan disambungkan dengan satu jambatan merentasi Sungai Sarawak, berdekatan dengan kawasan Sejingkat.

Ia seterusnya akan dihubungkan terus ke Santubong iaitu Jalan Sultan Tengah.

Beliau juga berkata, bagi meredakan kesesakan lalu lintas di antara Kota-Samarahan-Kuching dan sebaliknya, lima bulatan akan dinaik taraf dengan menjadi sistem lampu isyarat pintar.

“Dua tahun lalu saya terima aduan mengenai kesesakan  lalu lintas di Kota Samarahan sehingga mempengaruhi perjalanan pengguna jalan raya terbabit, termasuk pensyarah. Mereka mengambil masa sejam lebih sama ada dari Samarahan ke Kuching atau sebaliknya.

“Sehubungan itu saya memberi  jawapan agar Expressway Samarahan dinaik taraf iaitu bulatannya dengan membina lampu isyarat pintar. Hari ini saya tunaikan janji saya itu untuk manfaat semua,” katanya.