KOTA SAMARAHAN: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata,  melaksanakan agenda pembangunan lebih penting daripada perebutan kuasa dalam politik.

“Kita di sini tidak berminat untuk berpolitik kerana sibuk memikirkan tentang kemudahan jalan raya, elektrik dan air. Kita terlalu sibuk memikirkan tentang pentadbiran negeri,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek menaik Taraf Lima Bulatan Sepanjang Jalan Kuching-Samarahan di sini, semalam.

Namun beliau dipercayai merujuk kepada langkah pihak tertentu untuk merebut kuasa di peringkat nasional ketika rakyat berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19.

Berdasarkan laporan media, Abang Johari kelihatan sibuk menemui rakyat dan merasmikan pelbagai projek pembangunan membabitkan kesejahteraan rakyat.

Tumpuan beliau adalah kepada pelaksanaan projek pembangunan di luar bandar, termasuk jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air.

“Di sini rakyat dapat saksikan kita tidak berebut-rebut untuk mendapatkan jawatan seperti yang berlaku di Semenanjung, yang berebut-rebut untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai jumlah ahli parlimen yang cukup meyakinkan untuk membentuk kerajaan.