KUCHING: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut khususnya di kawasan crossway hingga ke Muara Tebas akan diberikan keutamaan terlebih dahulu dalam membina sebuah Kompleks Sukan Mini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, secara peribadi beliau bersetuju untuk dibina dan diadakan sebuah Kompleks Sukan Mini bagi kemudahan belia-belia di kawasan ini.

“Saya sendiri memang, secara peribadi setuju untuk diadakan sebuah Kompleks Sukan Mini di kawasan Bako, iaitu selepas persimpangan hingga ke Muara Tebas. Semestinya, ada sekurang-kurangnya satu kompleks sukan.

“Sekiranya dapat, ada dua cara iaitu membuat permohonan terus kepada Ketua Menteri sekiranya beliau ada membuat lawatan ke DUN Demak Laut. Apabila diluluskan, ia akan terus dihantar ke Kementerian Belia dan Sukan dan ini lebih cepat.

“Keduanya, menulis surat permohonan kepada Kementerian Belia dan Sukan dengan kita akan dahulukan permohonan ini dan berikan keutamaan untuk di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel sesi Townhall dalam Jelajah Belia Sarawak 2020 @Demak Laut yang diadakan di Penview Convention Centre Kuching pada Sabtu.

Ini merupakan siri ke 17 Jelajah Belia Sarawak 2020 dan dilaksanakan dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dianggarkan kira-kira 200 belia dari kawasan DUN Demak Laut hadir dan berinteraksi bersama dengan panel-panel yang terdiri daripada Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.