Tuesday, June 28, 2022

Kepelbagaian darurat dan keperluan semasa

Secara Rawak

Darurat merupakan istilah yang menjadi stigma dan trauma dalam kalangan masyarakat khususnya kalangan generasi lama.   Istilah ini menjadi stigma kerana menjadi  tanda aib besar  dalam situasi, keadaan, dalam masyarakat yang berlaku mahu pun pelaku yang menjadi penyebab tercetusnya darurat manakala  darurat menjadi trauma kerana  meninggalkan  pengalaman yang buruk dan teruk kepada yang pernah mengalami peristiwa atau kejadian tersebut.

Dalam sejarah darurat Tanah Melayu  berlaku akibat kekejaman komunis yang pada kemuncaknya  berlakunya pembunuhan  orang Eropah  yang merupakan pengurus ladang di Sungai Siput Perak pada tahun 1948 hingga menyebabkan kerajaan British  mengisytiharkan  darurat Tanah Melayu dari tahun 1948 hingga tahun 1960. 

Apabila Indonesia membantah pembentukan Malaysia,  Indonesia  melakukan serangan atau pencerobohan  terhadap Malaysia.  Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan darurat.  Maka, Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1964  digubal di Parlimen  dan  memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggubal peraturan-peraturan darurat.

Krisis perlembagaan Sarawak pada tahun 1966 bermula daripada  tindakan 21 daripada 42 Adun Sarawak membuat undi tidak percaya kepada Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak. Stephen enggan letak jawatan walaupun Gabenor Sarawak, Tun Abang Haji Openg  mengarahkan berbuat demikian kerana mendapat memorandum  daripada 21 Adun.     Hal ini menyebabkan  Stephen akhirnya dipecat oleh Gabenor dan Tawi Sli dilantik menjadi Ketua Menteri baru. Stephen membawa  isu  ini ke mahkamah dan Mahkamah Tinggi Borneo 7 September 1966 mengembalikan  kedudukannya sebagai Ketua Menteri, namun kerajaan Malaysia membuat keputusan  mengisytiharkan darurat di Sarawak pada 14 September 1966 dengan menggunakan ketidaktenteramam yang berlaku ketika itu.  Selepas itu, Stephen ditolak dengan undi tidak percaya  untuk kali ke-2 pada  23 September 1966 dan krisis politik dapat diselesaikan. 

Darurat paling tragik ialah darurat akibat daripada rusuhan kaum yang  berlaku pada 13 Mei di sekitar Kuala Lumpur, maka darurat diisytiharkan pada hari tersebut juga. Kesannya perlembagaan Persekutuan digantung dan  Yang di-Pertuan Agong  memerintah di bawah undang-undang tentera. Pembentukan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dibuat bagi membuat apa-apa keperluan dalam memelihara keamanan negara dan memastikan situasi terkawal. Tunku Abdul Rahman menarik diri daripada MAGERAN dan tempatnya diambil alih oleh Tun Abdul Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu. 

Pengenalan kepada Rukun Negara untuk merapatkan hubungan antara kaum di negara ini dan pelancaran Dasar Ekonomi Baru bagi merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan etnik dan membasmi kemiskinan tegar turut dilakukan dan merupakan hasil daripada MAGERAN. 

Darurat jerebu

Pada 19 September 1997, Perdana Menteri mengisytiharkan Darurat Jerebu untuk seluruh Negeri Sarawak selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 655.  Darurat jerebu  merupakan pertama dalam sejarah negara.  Mahathir sendiri selaku Pengarah Gerakan Negara memperincikan bahawa Darurat Jerebu tidak membabitkan penguatkuasaan Perintah Berkurung dan perubahan dalam corak serta sistem pemerintahan kerajaan negeri Sarawak. Pengisytiharan itu cuma memberi kuasa Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri mengarah penutupan semua pejabat kerajaan dan swasta, kecuali perkhidmatan perlu seperti hospital dan kedai bekalan makanan. 

Semua sekolah juga ditutup manakala operasi kilang, ladang, kerja pembinaan dan kuari diberhentikan. Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera pula diarah mengatur dan mengambil langkah perlu bagi menjamin keberterusan keamanan dan keselamatan di Sarawak. Ternyata, Darurat Jerebu diisytiharkan demi menjaga kesihatan rakyat di kawasan terbabit dan untuk mengelak kemalangan akibat jerebu yang menjejaskan pemandangan jalan.

Ketika itu, jerebu yang dihadapi tidak sama seperti sebelum ini yang terkawal dari segi bacaan Indek Pencemaran Udara (IPU) dan berlaku secara singkat.  Namun jerebu ketika September 1997  dikatakan paling buruk dari segi indek pencemaran dan tempoh pula panjang.  Jerebu tersebut berlaku apabila berlakunya kebakaran ratusan ribu hektar hutan yang tidak terkawal di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia. Ditambah pula musim kemarau panjang dan menyebabkan lebih banyak terkesan akibat kebakaran hutan.

Darurat Kesihatan?

Pada masa kini timbul pula isu sama ada darurat kesihatan perlu diisytiharkan kerana ini memberikan kesan yang besar kepada ekonomi, kesihatan dan sosial negara.  Perdana Menteri dan para menteri kanan serta ketua agensi keselamatan dan kesihatan telah mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengusul darurat ini. Namun jenis darurat yang dimahukan dan rasional, setakat ini Kementerian Penerangan belum  menjelaskan secara terperinci dan rasional mengadakan darurat tersebut.

Cuma Annuar Musa, Menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa  isu Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi wajib diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan, namun rakyat meminta ia ditangguhkan kerana di kawasan zon merah. Begitu juga  akan situasi DUN Sarawak akan tamat tempoh dalam masa  beberapa bulan lagi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) wajib diadakan. Akan tetapi ramai  yang berasa takut  dengan situasi yang berlaku di Sabah akan menimpa PRN Sarawak. Maka, wujudlah  suara-suara kebimbangan dan meminta tangguh pilihan raya tersebut.  Bagi Annuar Musa hanya melalui darurat sahaja mampu menangguhkan PRK dan PRN Sarawak, walaupun isu ini boleh dibincangkan di parlimen dan membuat keputusan  atau usul  untuk ditangguh atau pinda undang-undang pilihan raya dengan memasukkan perkara bahawa boleh ditunda untuk beberapa tempoh tertentu sehingga tidak ada kebimbangan ancaman kesihatan.

Malaysia mencatatkan kes paling tinggi hari ini sejak penularan jangkitan COVID-19 iaitu sebanyak 1,228 kes pada 24 Oktober lalu.  Daripada jumlah itu, Sabah mencatatkan kes jangkitan paling tinggi iaitu 889 kes dan diikuti Negeri Sembilan (96 kes); Selangor dan Kedah masing-masing 76 kes, Pulau Pinang (23 kes); Wilayah Persekutuan Labuan (21 kes); Perak (10 kes); Sarawak (8 kes); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (8 kes); Johor (7 kes); dan Melaka (3 kes).Jumlah keseluruhan kes positif di negara ini sebanyak 25,742 kes.

Apapun, kesemua pihak perlu menghormati apa-apa juga keputusan Majlis Raja-Raja  yang akan bersidang untuk berbincang panjang lebar, melihat pelbagai perspektif sebelum membuat keputusan muktamad secara bersama.  Setakat ini, bagi berhadapan dengan pandemik Covid-19 kerajaan memanfaatkan pelaksanaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sebagai cara utama untuk menangani wabak tersebut. Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga membuat pengisytiharan kawasan keselamatan setempat bagi kawasan yang terjejas dengan Covid-19  untuk mengawal penularan. 

Sekatan di jalan raya dan penguatkuasaan di pelbagai tempat oleh pihak penguat kuasa termasuk pihak polis, majlis kerajaan tempatan dan tentera juga dilakukan bagi memastikan rakyat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikenakan terhadap kawasan yang terlibat. Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Noor Hisham Abdullah) yang mempunyai komitmen tinggi untuk membanteras pandemik Covid-19. Pandemik covid-19 di Malaysia masih lagi di tangga 88 dunia dan bermakna masih terkawal berbanding dengan negara maju lain seperti di UK, Belanda, Kanada dan Amerika Syarikat.

Namun sekiranya darurat diistiharkan  maka seolah-olah kerajaan sekarang berputus asa dan menyebabkan timbulnya persoalan, sama ada ia mempunyai kaitan dengan dakwaan sokongan majoriti yang dibuat Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Sepatutnya seluruh barisan Kabinet Perikatan Nasional (PN) perlu membuktikan bahawa kesemua mereka tidak berputus asa berusaha menangani Covid-19 termasuklah juga berhadapan seterusnya menangani isu politik yang tercetus. Cara terbaik berhadapan dengan isu politik dan pandemik Covid-19 adalah dengan menjadikan Dewan Rakyat sebagai tempat menyelesaikan masalah yang timbul melalui perbincangan bersama untuk kepentingan seluruh rakyat.

Kerajaan perlu menggunakan medan demokrasi yang ada di Dewan Rakyat  untuk melawan dakyah persepsi dan tuduhan hilang sokongan majoriti, dan menghujahkan kembali di peringkat sidang Dewan Rakyat.   Situasi ini merupakan  proses paling demokratik yang perlu dilakukan segera. Sekarang terdapat persepsi bahawa Muhiyiddin Yassin mengusulkan darurat untuk menyelamatkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan menjauhkan desakan pihak-pihak tertentu yang mahu menjatuhkannya.

Apabila darurat diisytiharkan musuh politik PN akan menganggap langkah ini adalah  untuk memastikan undi tak percaya  di Dewan Rakyat dapat dielakkan. Kalau undi  tak percaya berlaku ini menjatuhkan  imej dan memalukan kerana  bakal tercatat dalam sejarah politik negara.  Begitu juga kalau Bajet 2021 tak dapat diluluskan, boleh mengakibatkan Perdana Menteri perlu letak jawatan dan kerajaan tumbang. 

Persepsi politik ini perlu dilawan dengan berdepan di Parlimen atau pihak Kementerian Penerangan perlu memberikan pencerahan yang sewajarnya kepada rakyat agar pemahaman dan perspektif sebenar dapat diketahui oleh rakyat yang sedang terkeliru dengan situasi terbaru yang bakal mereka hadapi sekiranya Majlis-Majlis Raja dan Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan darurat diisytiharkan.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru