KOTA SAMARAHAN: Berbanding 25 tahun lalu, Ketua Menteri berkata, Kota Samarahan telah tumbuh dan membangun dengan pantas.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ketika Tun Abdul Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri, beliau telah membuka kawasan Samarahan sehingga kawasan itu muncul sebagai kota ilmu dengan pembangunan yang pesat.

Di Samarahan kini  antara lain terdapat Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi Mara dan Institut Perguruan Tun Abdul Razak.

Banyak kawasan perumahan yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

“Bagi mereka yang menganggap tidak berlaku pembangunan di Sarawak, mereka perlu membuka mata. Mereka perlu lihat apa-apa yang berlaku kini hingga kita sebagai generasi kedua perlu merancang dan meneruskan pembangunan di kawasan ini,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Lima bulatan Sepanjang Jalan Kuching-Samarahan di sini, semalam.

Menurut Ketua Menteri, jumlah penduduk di Kuching dan Samarahan kini sekitar 1.2 juta, justeru terdapat keperluan untuk menaikkan kemudahan demi manfaat rakyat.

Untuk itu, antara langkah yang diambil ialah membina jambatan, jalan raya alternatif dan lampu isyarat pintar.

Beliau juga berkata, Kerajaan Sarawak memberi tumpuan kepada agenda pembangunan demi mencapai status sebagai negeri maju menjelang 2030.