KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak kini dalam proses merancang dan mereka bentuk beberapa jalan alternatif di sekitar jalan Kuching-Samarahan Expressway, dalam usaha mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kedua-dua daerah. 

Sehubungan itu, dibawah Program Jalan Pesisir Sarawak dengan peruntukan bernilai RM47,355,800.20, lima (5) bulatan di sepanjang laluan berkenaan akan dinaik taraf dengan pembinaan ‘Smart Traffic Light’ beserta sebuah jambatan merentasi Sungai Sarawak.

Menurut Ketua Menteei, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Johari Tun Openg, janji beliau dua tahun lepas untuk melaksanakan inisiatif tersebut kini telah terlaksana dan menjadi kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Lima bulatan sepanjang jalan Kuching -Samarahan Expressway di Kota Samarahan, pada Sabtu.

Menerusi projek itu, tiga bulatan di daerah Samarahan akan dinaik taraf kepada ‘Smart Traffic Light’ manakala dua di daerah Kuching pula, dinaik taraf kepada jambatan merentasi Sungai Sarawak berhampiran Sejingkat yang dianggarkan dapat mengurangkan masa pejalan dari 60 minit ke 30 minit sekiranya semua lampu isyarat berwarna hijau. 

Sementara itu, berucap di majlis sama, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, usaha yang sememangnya menjadi perhatian utama kerajaan Sarawak ini diharap dapat membantu masalah trafik yang begitu sesak di kawasan berkenaan  dalam jangka masa panjang di samping mengurangkan keluhan pengguna-pengguna jalan raya.