BINTULU: Potensi industri halal semakin meningkat dan merupakan industri yang amat penting serta relevan di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Majang Rengi berkata, usaha proaktif SEDC dalam menganjurkan kursus BeSS MeSTI halal merupakan satu langkah permulaan yang amat penting untuk meningkatkan penglibatan usahawan dalam Negeri Sarawak khasnya.

“Pensijilan halal daripada JAIS ini akan lebih mudah untuk diperolehi sekiranya tuan-tuan dan puan-puan telah memperolehi pensijilan BeSS atau MeSTI daripada KKM.

“Manakala untuk mendapatkan kedua-dua pensijilan ini pula, perniagaan tuan-tuan dan puan-puan mestilah mempunyai lesen perniagaan samada daripada Majlis Daerah, Pejabat Daerah atau Jabatan Hasil Dalam Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program BeSS MeSTI Halal di Hotel Parcity Everly Bintulu pada Jumaat.

Seramai 110 peserta yang terdiri daripada usahawan Bumiputera telah menghadiri program ini yang diadakan selama dua hari.

Tambah Majang lagi, industri halal ini bukan sahaja kepada orang muslim semata-mata tetapi juga turut merentasi orang bukan muslim.

“Pengguna juga semakin peka dengan kualiti produk dan perkhidmatan yang mempunyai standard halal.

“Penerimaan pengguna bukan Islam terhadap produk dan perkhidmatan halal juga meningkat, malah ada kajian mendapati pengguna bukan Islam mempunyai tanggapan yang lebih positif terhadap produk halal khususnya dari segi jaminan kebersihan dan keselamatan,” tambahnya.

Dalam pada itu, salah seorang peserta yang dikenali Zaiton, pengusaha makanan menyifatkan pentingnya untuk mendapatkan sijil halal bagi keperluan perniagaan pada masa akan datang.

“Saya mengikuti kursus ini adalah untuk mendapatkan sijil halal. Dan, pengalaman saya sepanjang dua hari ini adalah banyak.

“Ini merupakan pertama kali menghadiri kursus seperti ini.

“Saya berniaga seperti katering, tapi saya juga perlu untuk mendapatkan sijil halal kerana untuk perniagaan saya pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Simba Entili yang merupakan pengusaha produk berasaskan makanan menyifatkan penganjuran kursus ini sangat bermakna khususnya kepada usahawan bukan Islam dalam mendapatkan sijil halal bagi memudahkan pasaran produk mereka.

“Lama juga saya hendak mendapatkan MeSTI dan halal, tetapi belum berkesempatan menyertainya. Tetapi, dengan adanya kursus ini sangat menarik dan kita mendapat banyak info.

“Saya juga telah mendaftarkan produk-produk keluaran saya dekat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cuma belum lagi mendaftar untuk mendapatkan sijil halal.

“Langkah pertama, saya perlu buat dari MeSTI dulu dan selepas itu mendapatkan halal,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim, Pegawai Penguasa, Pejabat PPES Wilayah Bintulu Nordin Mus, wakil Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Asmawaty Ahmad, Pegawai Agama Islam Bahagian Bintulu Ustazah Ellysha Razali dan wakil Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Sylvester William Silan.