KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak  Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bersetuju dengan permohonan Persatuan Pemandu Bot Pelancong Taman Negara Bako bagi mengadakan satu lagi kursus bagi pemandu pelancong untuk Taman Negara Bako seperti yang dikeluarkan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Katanya, dengan adanya kursus seperti ini akan membolehkan pemandu bot pelancong yang membawa pelancong ke Taman Negara Bako mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam membawa pelancong.

“Kita juga ada mengaturkan program ini bersama dengan UiTM.

“Tahun lepas kita ada mengatur kursus seperti itu dan oleh kerana ada permohonan dari Bako, saya akan memberitahu kepada kementerian supaya buat lagi satu program khas untuk penduduk Kampung Bako.

“Ini membolehkan lebih ramai lagi penduduk dari Kampung Bako dapat menjadi ‘Park Guard’ khas di bawah SFC,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel sesi Townhall dalam Jelajah Belia Sarawak 2020 @Demak Laut yang diadakan di Penview Convention Centre Kuching pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, berhubung dengan permohonan membina litar drag bagi sukan permotoran, Abdul Karim mahu persatuan yang mengutarakan cadangan itu untuk membuat permohonan rasmi beserta dengan kertas kerja bagi pihak kementerian melihat dengan lebih mendalam tentang cadangan ini.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni melahirkan rasa terima kasih dan gembira di atas penganjuran program ini di DUN Demak Laut yang ternyata bermanfaat kepada belia-belia dalam memberi input kepada Kementerian Belia dan Sukan sama ada di peringkat Sarawak atau Persekutuan.

“Terima kasih Datuk Abdul Karim atas bantuan dan program yang begitu baik dan bermanfaat ini.

“Insha Allah, mereka yang hadir hari ini akan dapat menggunakan sebaiknya segala maklumat hasil daripada perkongsian terutamanya prosedur-prosedur Kerajaan Sarawak.

“Sebagai seorang menteri, Abdul Karim mempunyai suara di dalam Kabinet Sarawak yang semestinya didengari di kalangan menteri-menteri,” katanya.

Abdul Karim turut merasmikan Kelab 4X4 Demak Laut dan Kelab Demak Laut Bikers yang merupakan sebahagian daripada kelab sukan dan rekreasi yang ada di kawasan DUN Demak Laut.

Pada majlis itu juga, Abdul Karim telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada kelab dan persatuan di kawasan DUN Bako dengan RM10,000 kepada Persatuan Pemandu Bot Pelancong Taman Negara Bako dan selebihnya RM20,000 kepada beberapa kelab sukan dan rekreasi di kawasan DUN Demak Laut.