SERIAN: Seorang wanita warga emas maut akibat dilanggar sebuah kenderaan pikap jenis Isuzu Dmax di Jalan Baki-Riih Kampung Bantang, semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 12.01 tengah hari ketika mangsa sedang berjalan di bahagian tepi jalan sebelah kiri menghala ke pasar Baki Baru sebelum digesel oleh kenderaan terbabit dari arah belakang.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, mangsa dikenali sebagai Ngihem Tuwin@Tuin berusia 72 tahun.

Menurutnya, susulan kejadian mangsa dibawa oleh ambulans Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan segera.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di zon kuning Hospital Serian pada jam 3.15 petang.

“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” jelasnya menerusi satu kenyataan semalam.

Beliau menambah, pihaknya telah mengambil tindakan melawat ke lokasi dan merakam gambar serta melukis rajah kasar kejadian untuk maklumat siasatan lanjut.

Sementara itu dedahnya, pemandu kenderaan terbabit, 48, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.