KUCHING: Projek Rakyat bagi menaik taraf persimpangan lampu isyarat di Jalan Batu Kawa dengan Jalan Desa Wira, Batu Kawa bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat apabila ia mula dilaksanakan mulai minggu depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, ia merupakan salah satu projek di bawah Projek Rakyat DUN Batu Kawah yang digunakan melalui dana kerajaan negeri meskipun jalan tersebut adalah di bawah Jalan Persekutuan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah itu, kos pelaksanaan projek naik taraf tersebut adalah sebanyak RM1.24 juta.

“Projek ini akan bermula pada 26 Oktober depan dan dijangka siap menjelang 25 Julai 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Kontrak Projek Rakyat Naik Taraf Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Batu Kawa dengan Jalan Desa Wira, Batu Kawa, semalam.

Projek tersebut dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan.