KUALA LUMPUR: UMNO Kelantan melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung dengan ‘political ceasefire’ atau gencatan politik adalah suatu yang tepat pada masa ini.

Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata semua pihak wajib mengetepikan ketidaksefahaman politik kerana Malaysia pada ketika ini sedang menghadapi masalah yang lebih besar daripada isu politik negara.

“Rakyat sedang berjuang untuk kelangsungan hidup dan menjaga keluarga daripada penularan pandemik COVID-19, petugas-petugas kesihatan dan keselamatan sedang bertarung nyawa untuk mengekang wabak ini daripada terus merebak,” katanya kepada UMNO-Online.

Oleh itu sambung Ahmad Jazlan lagi yang juga Ahli Parlimen Machang, sewajarnya semua pihak wajib berganding bahu untuk terus bersama-sama dengan kerajaan dalam mencegah wabak COVID-19 di Malaysia.

“Setelah ‘kita menang’, adalah menjadi kewajipan pihak kerajaan untuk memulihkan ekonomi Malaysia demi membantu rakyat yang sedang bergelut dengan kehidupan dan cabaran mencari pendapatan.

“Keluh kesah rakyat adalah tanggungjawab pemimpin manakala kerisauan rakyat kebimbangan Kerajaan. Ayuh… bersama-sama kita henti ketidaksefahaman politik, bantu negara untuk bebas COVID-19.

“Justeru seruan dan saranan Presiden UMNO sangat tepat dan semua pihak tidak harus memandang remeh akan hal ini,” ujarnya seperti dipetik Umno Online.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak melakukan gencatan politik dan menumpukan sepenuhnya usaha membantu rakyat dalam meringankan beban yang ditanggung mereka akibat dampak ekonomi dan pandemik COVID-19.-