SIMUNJAN: Program Keusahawanan Kerepek dan Kraftangan anjuran Wanita Zon 4 Sungai Rangawan, Simunjan yang diadakan di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Putin pada Khamis telah berlangsung dengan jayanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris dalam majlis itu berkongsi mengenai perancangan beliau untuk menggabungkan keempat-empat zon di kawasan tersebut dalam satu lagi kursus melibatkan karnival jualan untuk para usahawan mengetengahkan serta menjual hasil-hasil produk mereka.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan dana sumbangan sebanyak RM3000 kepada 9 buah kampung iaitu, Kampung Sungai Putin, Kampung Terasi, Kampung Sungai Buluh, Kampung Senangeh, Kampung Ensengei Iban, Kampung Rangawan Hilir, Kampung Rangawan Hulu, Kampung Tanjung Kelaso dan Kampung Rangkang.

Turut hadir, isteri beliau Napsiah Abang Kaderi, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Negeri Sarawak (FAMA), Dato Dr. Mat Sani Hassan, Timbalan Pengarah Kraftangan Negeri Sarawak, Haironi Bohari, Pegawai Daerah Simunjan, Awang Safri Awang Ahmad, Pegawai Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Haji Shukri serta Pengerusi Wanita PBB Zon 4 Rangawan, Hawa Abdullah.