KUCHING: Kerajaan Persekutuan perlu membuat keputusan bijak berhubung pengisytiharan darurat.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana, pengisytiharan darurat tersebut boleh dilakukan dalam keadaan tertentu seperti kecemasan, bencana dan sebagainya.

“Ini kerana, sekiranya darurat diisytiharkan, semua program yang dilaksanakan dan yang telah di rancang akan ditangguhkan ,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan usahawan dan pembekalan hidrogen antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Energy Sdn Bhd dengan pengusaha daripada Jepun dan Singapura, di sini Jumaat.

Majlis MoU tersebut disaksikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sehubungan itu, Karim berkata, Kerajaan Persekutuan perlu memainkan peranan penting dalam membuat keputusan sedemikian.

“Di Sarawak, sekiranya pengisytiharan darurat ini disebabkan pandemik Covid-19, Kerajaan Persekutuan mengkaji terlebih dahulu berhubung kes yang ada di Sarawak,” katanya sambil menambah, sekiranya Sarawak mencatat, satu atau dua kes, maka tidak perlu Sarawak diisytiharkan darurat.

Ditanya berhubung bahan bakar hidrogen, Karim berkata, ia merupakan langkah kerajaan untuk membangunkan Sarawak seperti negara-negara maju yang lain.

“Negara Jepun, Korea dan beberapa negara lain sudah menggunakan tenaga hidrogen dalam kehidupan mereka,” katanya.