KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) telah mencapai kata sepakat dan menetapkan beberapa keputusan dalam Sidang Media Mesyuarat yang berlangsung di Kuching, Jumaat.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya akan meneruskan hasrat memohon kepada Menteri Dalam Negeri supaya memberi pertimbangan kepada Negeri Sarawak untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan di Sarawak.

Hal yang demikian merujuk kepada isu status kanak-kanak Sarawak yang kewarganegaraannya belum ditentukan termasuk kanak-kanak yang ditempatkan di Institusi Kebajikan serta kanak-kanak yang telah dibuang.

Disamping itu, mesyuarat juga telah memutuskan untuk menubuhkan semula Pasukan Petugas Khas bagi menangani pribumi yang tidak ada dokumen pengenalan diri.

Tambah beliau lagi, Borang Bantuan Ibu Bersalin boleh didapati di Jabatan Pendaftaran Negara, Negeri Sarawak bermula November.

Hadir sama, Setiausaha Tetap KWKPK,Dr. Saadiah Abdul Samat, Penolong Pengarah (Operasi) JPN Sarawak,Ramzi Ibrahim, Ketua Bahagian Khas JPN Sarawak,Zakaria, Ketua Cawangan Perlindungan Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak,Rohana Ismawi, Timbalan Pengetua Rumah Kanak-Kanak Kuching, Mohd NorAzman serta Pegawai Undang-Undang KWKPK,Masni Julaihi.