KABONG: Ceramah Maulidur Rasul dengan tajuk – Rasululullah SAW : Rahmat Seluruh Alam yang disampaikan oleh Mufti Negeri Sarawak, Sahibus Samahah Datu Haji Kipli Haji Yassin
bertempat di Masjid Assabirin Kabong berlangsung dalam suasana gelap dan samar-samar apabila bekalan elektrik tiba-tiba terputus ketika solat Maghrib baru saja hendak dilangsungkan malam ini.

Keadaan gangguan elektrik berkenaan berlarutan menyebabkan solat Maghrib,Isyak dan sesi ceramah mufti terpaksa dijalankan selepas solat dengan hanya bercahayakan lampu kecemasan yang ada di masjid tersebut.

Sebelum sesi ceramah bermula ADUN Kabong , Mohd.Chee Kadir menyampaikan ucapan alu-aluan dalam keadaan cahaya samar-samar dan memohon maaf kepada mufti negeri dengan situasi luar jangkaan yang berlaku ketika itu.

Menurut Chee bagi penduduk Kabong masalah terputus bekalan dan gangguan bekalan elektrik di sini bukan perkara asing dan penduduk sudah lali dengan gangguan bekalan elektrik sedemikian rupa. Dan katanya perkara berkenaan sebahagian daripada dugaan yang perlu dihadapi dengan sabar.

Chee kemudiannya menyampaikan sumbangan kewangan dalam bentuk cek kepada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK) sebanyak RM50,000 dan Persatuan Anak Kabong (PAK) sebanyak RM20,000.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi ceramah Maulidur Rasul oleh Mufti Negeri Sarawak, Sahibus Samahah Datu Haji Kipli Haji Yassin dengan hanya menggunakan pembesar suara mudah alih.

Gangguan bekalan elektrik hanya pulih jam 8.30 malam setelah majlis selesai.

Hadir sama Pengerusi LAKIK, Haji Olen Tabor, Pegawai Daerah Kabong, Rashdan Haji Hazemi, Pengerusi PAK, Semawie Mohamad, Pengerusi Pengurusan Masjid, Johar Haji Bidin dan kira-kira 300 jemaah.