KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu menimbangkan semua perkara sebelum mengumumkan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kita masih mempunyai mandat untuk mentadbir negeri ini,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan Bantuan Khas Sarawakku Sarawak (BKSS) 4.0, di sini semalam.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi GPS, berkata apa yang yang lebih utama ialah menguruskan ekonomi, menangani pandemik Covid-19 dan membantu rakyat supaya tidak berasa terlalu terkesan akibat pandemik berkenaan.

Tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang akan tamat pada April 2021. 

Ini bermakna, dalam tempoh 90 hari pilihan raya perlu diadakan. 

Kali terakhir Sarawak mengadakan PRN ialah pada Mei, 2016.

“Sekiranya kita mahu mengadakan PRN12 dalam masa terdekat, kita mungkin boleh mengguna pakai kaedah digunakan oleh New Zealand, Singapura dan Korea Selatan yang berjaya mengadakan pilihan raya dengan selamat.

“Kita tidak gilakan kuasa untuk mengadakan PRN12 dalam keadaan pandemik Covid-19 sekarang. Apa yang penting ialah keselamatan rakyat dan membantu mereka,” katanya.

Justeru, katanya, jika PRN diadakan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah menggunakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat kerana kesihatan rakyat lebih penting.