SIBU: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian telah memberikan banyak bantuan bagi memajukan golongan petani termasuk di Daro dalam semua aspek termasuk ilmu pengetahuan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, Projek Sub Station Pertanian berdekatan kawasan tersebut sedang dilaksanakan yang bertujuan menjadi pusat latihan pertanian.

Katanya, banyak projek pembangunan telah dirancang di Daro melalui agensi Kerajaan Negeri bagi memudahkan urusan pertanian di kawasan itu.

Semasa berucap pada Majlis Penangguhan Agriculture Community Outreach Programme (Agricop) DUN Daro (Siri 3) pada Jumaat, Safiee mahu penduduk di kawasan itu fokus dalam bidang pertanian kerana ia mampu menjadi punca pendapatan tetap yang lumayan.

Justeru tegas Safiee, penting untuk rakyat sendiri berubah dan bekerja keras dalam memajukan kehidupan diri sendiri.

Program Agricop DUN Daro (Siri 3) yang disertai seramai 150 peserta itu bertujuan memberi tunjuk ajar kepada petani dan nelayan secara teknik moden dalam bidang pertanian.