KUCHING: Inisiatif yang dilaksanakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, menerusi sumber tenaga hidrogen, menjadi sumber pendapatan tambahan untuk Sarawak.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui hian berkata, ia merupakan langkah yang tepat kerana Sarawak mempunyai banyak sumber air seperti empangan Bakun dan sebagainya.

“Selain minyak dan gas, bahan hidrogen merupakan satu lagi sumber pengeksportan bahan api itu boleh dikenakan Cukai Jualan Negeri (SST),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Usahawan dan Pembekalan Hidrogen antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Energy Sdn Bhd dengan pengusaha dari Jepun dan Singapura, di sini semalam.

Majlis MoU tersebut disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Sim berkata, berbanding sebelum ini, selama 22 bulan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, mereka tidak membantu dari segi kewangan kepada Sarawak.

“Oleh sebab itu, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, mengambil langkah untuk merancang pelbagai program bagi menambah pendapatan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, katanya, pendekatan untuk mewujudkan gas hidrogen di Sarawak ini juga bakal membuka peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak.