MACHAN: Penduduk di Machan menerima perkhabaran gembira apabila Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan dua projek untuk manfaat rakyat di kawasan berkenaan.

Projek pertama ialah pembinaan jalan raya sepanjang 10 kilometer dari Nanga Jerangku ke Ulu Machan yang akan menghubungkan para penduduk dari 10 buah rumah panjang kawasan berkenaan.

Manakala projek kedua pula ialah pembinaan Tebingan Sungai Machan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Berucap semasa Majlis Perasmian Pejabat Pertanian Nanga Machan, Kanowit petang tadi, Ketua Menteri memberitahu, kelulusan kedua-dua projek tersebut membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam membawa kemajuan kepada rakyat di kawasan luar bandar.

“Demi manfaat jangka panjang penduduk setempat di sini saya luluskan projek-projek ini.

“Ini membuktikan kerajaan Sarawak sangat prihatin dengan keperluan rakyat khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Menteri memberitahu, kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan makanan kepada rakyat dalam tempoh jangka masa panjang.
Sehubungan itu jelasnya, kerajaan telah memperuntukkan dana kira-kira RM700 juta bagi mengukuhkan pembangunan pertanian dan pengeluaran makanan di negeri ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa’ee, ADUN Machan, Allan Siden Gramong, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio-Ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu jemputan lain.