KUCHING: Penubuhan stesen pengisian bersepadu yang merangkumi petrol, elektrik dan hidrogen oleh Kerajaan Sarawak merupakan satu langkah positif dalam memenuhi sektor pengangkutan hijau di negeri ini.

Penganalisis Ekonomi Prof Madya Dr Madeline Berma berkata, tindakan ini secara tidak langsung turut dapat memenuhi keperluan jangka panjang bagi pengguna di Sarawak.

“Dengan penubuhan stesen ini, Sarawak akan menjadi negeri pertama yang mempunyai stesen pengisian minyak hidrogen komersial bukan sahaja di Malaysia tetapi negara di rantau Asia.

“Inisiatif ini dapat memberi banyak pilihan kepada pengguna untuk mendapat perkhidmatan di satu stesen, termasuk bahan bakar konvensional, pengecasan elektrik untuk kenderaan elektrik bateri (BEV), dan gas hidrogen untuk kenderaan elektrik sel bahan bakar hidrogen (FCEV),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Suara Sarawak berkaitan penubuhan stesen pengisian bersepadu, semalam.

Menurutnya, meskipun penggunaan kedua-dua kenderaan elektrik dan hidrogen ini lebih bersih dan efisien namun ia memerlukan kos yang lebih tinggi berbanding kenderaan petrol.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini mengumumkan pembinaan stesen pengisian bersepadu yang merangkumi petrol, elektrik dan hidrogen di beberapa kawasan termasuk di MJC Batu Kawa.

Langkah ini merupakan pendekatan Sarawak untuk memperkenal penggunaan hidrogen dalam kalangan rakyat di negeri ini.