KUCHING: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) memainkan peranan yang sangat penting dalam sektor pertanian di negeri ini.

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn, selain berperanan meningkatkan taraf sosio ekonomi ahli- ahlinya, PPK dan PPNS juga menyumbang kepada jaminan bekalan makanan (food security) dan ekonomi Sarawak.

Untuk itu jelasnya, pihak kementerian menaruh harapan yang tinggi terhadap Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dan Pengurus Besar dalam Pertubuhan Peladang bagi memastikan perjalanan PPK atau PPNS sehaluan dengan halatuju dan dasar semasa kerajaan, yang menetapkan sasaran mencapai pendapatan keluargatani sebanyak RM6,000 sebulan sebagai pengeksport bersih menjelang tahun 2030.

“Tidak lama 10 tahun sahaja lagI. Kalau kita kerja kuat kita tidak akan susah; Saya yakin bahawa AJP dan Pengurus Besar dapat menjalankan tanggungjawab-tanggungawab ini dengan baik,”katanya bagi mewakili Timbalan Ketua Menteri merangkap Penasihat PPNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPNS Ke-35 di Kuching pagi semalam.

Menghimpunkan para perwakilan daripada 28 Pertubuhan Peladang Kawasan, mesyuarat tersebut bertujuan untuk membincang dan memutuskan aktiviti-aktiviti perniagaan, perkhidmatan dan halatuju PPNS.

Berucap dalam majlis sama, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga Pengerusi PPNS, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, dalam usaha menuju aspirasi kerajaan negeri menjadikan Sarawak pengeksport bersih makanan, PPNS telah menceburi bidang pemprosesan dan pemasaran produk pertanian keluaran peladang.

Ujarnya, bengkel untuk menyediakan Pelan Rancangan 5 Tahun (2021- 2025) Pertubuhan Peladang akan diadakan, yang mana melibatkan rantaian makanan keseluruhannya.

“Kita telah pun merancang untuk mengadakan satu bengkel untuk menyediakan Pelan Rancangan 5 Tahun (2021 – 2025) Pertubuhan Peladang yang melibatkan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak dan kesemua Pertubuhan Peladang Kawasan di Sarawak.” jelasnya.

Turut hadir, Penolong Setiausaha Bahagian Industri Agromakanan MANRED (wakil Setiausaha Tetap MANRED),David Branch Ambor, Ahli Jemaah Pengarah PPNS,Kenil Jara’ie, wakil Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak,Mohidi Bidin, serta Pengurus Besar PPNS,Gom Raway.