KOTA SAMARAHAN: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM)  menyumbang wang sebanyak RM10,800.00 kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk membantu meringankan beban para pelajar UNIMAS yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Majlis penyampaian bantuan berkenaan  diserahkan oleh Pengurus Negeri Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri Sarawak,  Fadlie Zamuri kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Profesor Dr. Kamarudin Kana di bangunan Canselori UNIMAS, pagi semalam.

Turut menyaksikan penyerahan tersebut ialah Penolong Pendaftar Kanan Pusat Khidmat Pelajar UNIMAS, Encik Zahiruddin Md.Jais, Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UNIMAS, Mohd Taufik Badruddin, Pegawai YaPEIM dan UNIMAS lain.

Menurut Profesor Dr.Kamarudin, UNIMAS berbesar hati dengan bantuan yang diberikan oleh YaPEIM selain berharap agar kerjasama tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang.

Beliau menambah, bantuan akan digunakan sebaik mungkin antaranya untuk membeli barangan keperluan bagi pelajar yang masih berada di kampus selain membantu pelajar yang memerlukan bantuan bagi menjalani pengajian secara dalam talian iaitu dalam norma baru pada masa sekarang.