KANOWIT: Kerajaan Sarawak mengambil berat sektor pertanian di negeri ini kerana sedar akan potensinya yang dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat jika diterokai dengan betul.

Untuk itu, menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kerajaan telah dan akan menyalurkan peruntukan besar bagi memperkasakan berkenaan.

“Pada ketika ini, permintaan dan pasaran untuk pengeluaran makanan sangat tinggi terutama di negara luar, termasuk Singapura,” katanya  dalam ucapan di  satu majlis di sini, semalam.

Beliau berkata, Sarawak turut mengeksport sayur midin ke negara pulau, Singapura. 

”Kita mengeksport sayur midin menggunakan perkhidmatan udara ke Singapura,” jelasnya.

Sebelum ini, Sarawak turut mengeksport ikan patin, tilapia dan produk lain ke Singapura.

“Siapa sangka produk ini mendapat permintaan yang cukup baik dan laris di sana,” katanya lagi.

Beliau berkata, terdapat kaedah tertentu untuk memastikan sayur midin tetap segar apabila sampai di negara itu, dan tidak bertukar menjadi hitam.

“Ini menunjukan masa depan hasil pertanian dan makanan kita mempunyai potensi yang besar,” ujarnya.

Ketua Menteri berkata, masa depan untuk pertanian di negeri ini amat cerah.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Sarawak akan terus memberikan perhatian terhadap usaha membangunkan prasarana di luar bandar, termasuk bekalan elektrik dan air.

“Saya memberi jaminan sektor pertanian termasuk di kawasan Machan diberi perhatian,” katanya.

“Kita mahu petani memanfaatkan peluang yang disediakan dengan sebaik-baiknya,” katanya lagi.