SARIKEI: Seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun ditemui mati  di Sungai Rusa, dalam operasi hari kedua mencari dan menyelamat mangsa setelah dilaporkan hilang sejak 21 Oktober lalu.

Menurut sumber dari Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menyatakan bahawa Leong Kheng Onn dijumpai meninggal dunia dilokasi yang ditemui dan sebelah kaki kanannya terputus dipercayai di baham buaya.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa telah bermula pada pukul 8.30 pagi dengan kekuatan 11 orang anggota menggunakan utiliti RRV dan EMRS.

Selain itu, pencarian itu juga  menggunakan dua buah bot di sepanjang sungai yang turut dibantu oleh penduduk kampung.

Pada pukul 11.40 pagi, mayat mangsa telah dijumpai di satu lokasi anak sungai iaitu 300 meter dari Pos Kawalan Bomba.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Operasi yang diketuai Komander Operasi PPgB Mahmudin Narudin tamat sepenuhnya pada pukul 1.30 petang.

Agensi lain yang turut terlibat ialah empat anggota APMM, enam anggota Polis Marin, dua anggota Lembaga Sungai Sarawak dan 11 orang penduduk kampung.