SIBU: Kerajaan Sarawak akan mengumumkan usaha-usaha terbaharu dalam penerokaan industri minyak dan gas di negeri ini dua minggu lagi.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, semua usaha yang dilakukan itu adalah untuk masa depan rakyat di negeri ini.

Malah beliau mengulangi, kerajaan Sarawak mempunyai hak dalam mengawal selia aktiviti minyak dan gas di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.

“Kita ada kuasa dalam melaksanakan cukai minyak dan gas, ada lagi nak dilakukan saya dalam dua minggu dari sekarang dalam hal minyak dan gas di bawah OMO.

“Usaha ini kita lakukan untuk masa depan Sarawak dan pulangannya kita akan memberi semula kepada rakyat,” katanya semasa Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Bahagian Sibu malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk AmarJaul Samion serta Menteri-menteri kabinet negeri.

Dalam pada itu, Ketua Menteri juga memberitahu, kawasan luar bandar memiliki sumber khazanah yang perlu dilindungi untuk masa depan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri menyedari kehendak rakyat luar bandar yang menginginkan kemudahan bekalan air dan elektrik seperti penduduk di kawasan bandar.

Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan surat-surat pelantikan kepada ketua-ketua masyarakat dari Zon Tengah.