KUALA LUMPUR: Anggota majlis tertinggi Umno,  Tan Sri Annuar Musa hari ini menafikan  dakwaan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat pusingan U dalam menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Umno sebelum ini dilaporkan memberi syarat dan tuntutan baharu kepada pemimpin PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiuddin Yassin di sebalik dakwaan Presiden Anwar Ibrahim bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu mempunyai majoriti meyakinkan untuk membentuk kerajaan.

Annuar  berkata pertimbangan dan keputusan Ahmad Zahid itu dibuat setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan merupakan keputusan dia sendiri.

“Laporan tersebut jelas tidak benar malah tidak wujud pun mesyuarat selama itu,” kata yang juga setiausaha agung BN.

Beliau mengulas laporan bahawa  Ahmad Zahid membuat pusingan U selepas suasana tegang dalam satu mesyuarat.

“Pertimbangan Presiden Umno mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan merupakan keputusan beliau sendiri. 

Presiden dan Umno memahami keutamaan ialah rakyat, apalagi bila melibatkan nyawa dan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik melalui Facebook, hari ini.

Semalam  Ahmad Zahid mengumumkan “gencatan politik” susulan Covid-19.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, tindakan Presiden Umno itu tepat, apabila rakyat dan negara didahulukan, bukannya politik.

Negara di barat jelasnya lagi mengisytiharkan darurat, bagi menjamin kerajaan dapat tumpukan perhatian kepada Covid-19 dan keselamatan negara.

“Berbilion-bilion ringgit dana negara terpaksa digunakan dan negara boleh bankrap angkara Covid-19.

“Mengganggu kestabilan perkara paling mudah. Tukar PM tidak menghapuskan virus ini. Malah pilihan raya juga tidak akan menyelamatkan rakyat malah boleh memporak-perandakan lagi,” katanya.

“Situasi kita ini luar biasa.Tiada rujukan kecuali melihat kepada pelbagai pendekatan dan menggubal preskripsi kita sendiri”, ujarnya.

Beliau juga berkata menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi memberi tumpuan kepada agenda membantu rakyat dan negara.