SARATOK: Penggemar aktiviti memancing dari Daerah Saratok dijemput untuk bersama-sama menakluki Sungai Krian melalui penganjuran Jum Ngail Kalaka pada Sabtu ini.

Menurut penganjur Jimi Matdeli, pertandingan yang akan berlangsung selama dua jam 45 minit itu menyediakan lima kategori hadiah untuk direbut.

“Pertama pemancing yang berjaya mendapatkan hasil terpantas, hasil udang dan ikan terbanyak serta udang dan ikan paling berat,” katanya.

Jelasnya, pertandingan di Dermaga Utama Saratok itu terbuka kepada semua warga dan pemastautin tetap Daerah Saratok berusia 18 tahun ke atas.

Katanya lagi, setiap pemancing hanya dibenarkan menggunakan dua joran yang masing-masing hanya mempunyai satu mata kail.

“Yuran penyertaan bagi satu joran ialah RM10. Kaki pancing yang berminat mencuba nasib di Sungai Krian yang dipercayai mempunyai banyak ikan Labang perlu mengisi borang penyertaan dan mengembalikannya kepada saya di Pusat Khidmat Adun Kalaka dekat Lakis Saratok selewat-lewatnya jam 5.00 petang 22 Oktober (Khamis),” ujarnya.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Jimi Matdeli di talian 013-5796632. Jum Ngail Kalaka merupakan salah satu pengisian Jum Santai Kalaka anjuran PBB Cawangan Kalaka.