KUCHING: Sarawak memerlukan lebih banyak pemandu pelancong apabila sektor pelancongan pulih selepas Covid-19 berakhir.

Ketika ini dilaporkan Sarawak hanya mempunyai 169 pemandu pelancong berbanding Sabah sekitar 2,000 orang.

Sarawak menyasarkan untuk mempunyai 500 pemandu pelancong bagi membantu menggerakkan sektor berkenaan.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, khidmat pemandu pelancong diperlukan apabila jumlah pelancong mulai meningkat nanti.

Sarawak sebelum ini menyasarkan lima juta pelancong setahun tetapi ancaman pandemik Covid-19 menjejaskan sasaran berkenaan.

“Pemandu pelancong ialah duta kecil yang dapat memperkenalkan Sarawak kepada dunia luar dan para pelancong,” katanya  pada sidang media selepas melancarkan Kursus Pemandu Pelancong Khas Wilayah Kuching Pengambilan 2020 di sini, semalam.

Sambil menambah walaupun sektor pelancongan terjejas ketika ini, namun kerajaan terus merangka pelan dan program untuk memperkasa dan merancakkan industri terbabit.

“Ini kerana apabila pelancong berkunjung ke negeri ini, mereka memerlukan pemandu pelancong untuk membantu mereka,” jelasnya.