BETONG: Kerajaan Sarawak kini melangkah ke depan dalam bidang pertanian melalui pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memperluas hasil eksport selain membantu meningkatkan pendapatan masyarakat di luar bandar.

Menurut ADUN Saribas, Mohammad Razi Sitam, inisiatif di bawah Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak itu merupakan cetusan idea Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Zohari yang memfokuskan penghasilan bidang pertanian sebagai sumber ekonomi.

Katanya, selain tanaman fertigasi, nanas dan sayur-sayuran, kawasan Saribas juga telah memulakan proses penanaman kelapa pandan dengan menggunakan ‘anchor company’, di mana sebanyak 120 ekar tanah dilaksana bagi fasa pertama, disusuli fasa kedua sebanyak 100 ekar.

Melalui ‘achor company’ jelasnya, pemilik tanah tidak perlu bersusah-payah memikirkan tentang pemasaran produk, kerana syarikat yang bertanggungjawab akan membuat pemasaran, pemilik tanah hanya akan mendapat hasil keuntungan daripada projek tersebut.

Tambah Mohammad Razi, idea tersebut digunakan di kawasan Saribas sekiranya terdapat permohonan secara berkelompok untuk membangunkan produk pertanian di kawasan tanah mereka.

Beliau berucap demikian semasa program Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) Betong Siri 10/2020 di Dewan Pahlawan 7, Kampung Bungin pada Rabu.

Katanya, program AgriCOP sangat bermanfaat terutama untuk para petani yang ingin memajukan tanah mereka dalam perusahaan yang lebih besar selain memberi pendedahan tentang skop pertanian yang bakal dilaksanakan di Saribas.