BELGIAN: Pengedar dadah Mike Gielen, 24, gagal dalam cubaannya melarikan isterinya dari penjara .

Malah akhirnya dia sendiri ditangkap pihak berkuasa.

Lelaki itu berjaya dikesan selepas menggunakan namanya sendiri untuk menempah helikopter yang diperlukan.

Mike berkahwin dengan isterinya Kristal Appelt, 27, pada tahun lepas di sebuah penjara di Hasselt.

Kristal menjalani hukuman penjara selepas di dapati bersalah membunuh bekas teman lelakinya.

Mike dan dua pembantunya berusia 18 dan 22 tahun menempah helikopter tersebut dari Duerne, berdekatan Antwerp.

Mereka menyamar sebagai krew televisyen yang hendak mengambil foto untuk sebuah program.

Sebaik Sahaja tiba di mercu tanda Atomium and the Lion of Waterloo, Mike mengeluarkan pistol replika dan mengacukankannya ke arah pemandu pesawat yang merupakan wanita berusia 35 tahun.

Dia mengarahkan wanita itu terbang ke penjara wanita Berkendael di selatan Brussels.

Di pekarangan penjara, pemandu helikopter tersebut terpaksa mengelilingi pekarangan penjara itu beberapa kali untuk mencari tempat mendarat.

Sementara, Mike pula tiba-tiba terasa mual dan muntah lima kali di tingkap helikopter.

Sepanjang tempoh itu, pengawal penjara melihat kehadiran helikopter itu dengan penuh gelisah, manakala banduan wanita pula bersorak gembira.

Pemandu pesawat itu akhirnya berjaya meyakinkan Mike helikopter itu tidak dapat mendarat kerana kawasan itu terlalu sempit.

Mereka akhirnya berlalu pergi dan melarikan diri menggunakan kereta yang dipandu ayah Mike.

Berikutan insiden itu pihak berkuasa melakukan siasatan dan dengan mudah mengesan Mike dan kumpulannya.

Mereka bertiga termasuk ayah Mike ditahan atas tuduhan melakukan penculikan, konspirasi untuk memecah masuk penjara, kecurian dan aktiviti keganasan berkumpulan.