SELANGAU: Kelewatan pembinaan bangunan Pejabat Daerah Selangau yang baharu perlu disegerakan untuk keselesaan kakitangan menjalankan tugas mereka.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion berkata, kelewatan projek pembinaan Pejabat Daerah Selangau yang baharu ini perlu diatasi dengan mencari jalan penyelesaian segera supaya ianya dapat disiapkan mengikut jadual yang baharu.

“Projek pembinaan Pejabat Daerah Selangau yang merangkumi satu blok tiga tingkat dengan kos pembinaan sebanyak RM3.5 juta itu dijadualkan siap pada 14 Januari 2021, tetapi mengalami kelewatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tarikh sepatutnya siap pada 7 Oktober Lepas.

“Sehingga kini peratusan siap sebanyak 58 peratus.

“Adalah menjadi harapan agar projek pembinaan Pejabat Daerah Selangau yang baharu ini di kawasan Selangau dapat disiapkan mengikut jadual demi keselesaan kakitangan dalam menjalankan tugas untuk rakyat,” katanya selepas mengadakan Lawatan Kerja dan Taklimat Projek Rakyat dan Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) di Daerah Selangau pada Rabu.

Dalam pada itu, Datuk Amar Jaul turut mengingatkan penjawat awam di negeri ini supaya terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Berikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat khususnya mereka yang datang dari kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Ini kerana kehadiran mereka adalah untuk mendapatkan bantuan dan keperluan sebagai seorang warganegara Malaysia dan rakyat Sarawak,” ujarnya.

Selain bangunan baharu Pejabat Daerah Selangau, Datuk Amar Jaul turut mendengar Taklimat Projek Rakyat Selangau Mini Sport Complex yang bernilai RM7.98 juta yang disampaikan pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan peratusan siap 0.51 peratus dan dijadualkan siap pada 4 Ogos 2020.

Turut dilawati Projek Rakyat Landscaping Works on Selangau Riverbank yang bernilai RM4 juta yang dijadualkan siap pada 29 Mac 2021 dan sehingga kini telah siap 45.36 peratus.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Insfrastruktur dan Pelabuhan Sarawak Datu Safri Zainuddin, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sarawak Nancy Jolhi, Timbalan Residen Bahagian Sibu Wong Hee Seng, Pengurus Wilayah Tengah JKR Sarawak Ir. Anding Uchi, Pegawai Daerah Selangau Inting Nyami dan Pemangku Setiausaha SRDC Teng Ming Min. 

Kelewatan Pembinaan Bangunan Pejabat Daerah Selangau Baharu Perlu Diselesaikan SegeraSELANGAU: Kelewatan pembinaan…

Posted by Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS on Wednesday, October 21, 2020